SEORANG wanita berusia 24 tahun ditahan selepas disyaki membunuh dua anak kandungnya dengan bantuan teman lelaki, kerana menganggap mereka sebagai penghalang hubungan cintanya, menurut kenyataan polis pada Jumaat.
Wanita terbabit, dikenali sebagai Muskan, ditahan polis selepas kedua-dua anaknya, Arhan, 5, dan Enaya, satu tahun, ditemui mati dalam keadaan mencurigakan di rumah mereka di Kampung Rodkali, Uttar Pradesh, pada Khamis.
Menurut Superintendan Kanan Polis Sanjay Kumar, hasil siasatan awal mendapati Muskan mengaku membunuh kedua-dua anaknya dengan memberikannya racun.
"Siasatan mendedahkan penglibatan suspek dalam kematian anak-anaknya. Dia telah ditahan dan semasa soal siasat, mengaku melakukan jenayah tersebut," kata Kumar kepada pemberita.
Muskan dikatakan menjalin hubungan sulit sejak sekian lama dengan teman lelakinya.
Suami Muskan, Waseem, difahamkan sedang bekerja di Chandigarh semasa kejadian berlaku.
Menurut polis, Muskan mendakwa anak-anaknya menjadi halangan untuk dia memulakan hidup baharu bersama kekasih, menyebabkan dia mengambil keputusan untuk menamatkan nyawa mereka.
Siasatan turut mendedahkan bahawa pasangan kekasih itu dipercayai telah merancang untuk melarikan diri dan berbulan madu selepas kejadian tragis itu.
Polis kini giat memburu kekasih Muskan dan kes sedang dalam siasatan lanjut. -Agensi