suria

Universiti dikecam selepas pelajar perempuan diperiksa coli sebelum masuk dewan peperiksaan

Video tular memaparkan pelajar perempuan diperiksa di bahagian dada oleh kakitangan ketika sedang beratur di luar dewan peperiksaan. -Foto X

SEBUAH universiti di Nigeria menerima kecaman hebat selepas tular satu rakaman video yang menunjukkan pelajar perempuan diperiksa secara fizikal oleh kakitangan wanita untuk memastikan mereka memakai coli, sebelum dibenarkan memasuki dewan peperiksaan.

Insiden itu dilaporkan berlaku di Universiti Olabisi Onabanjo, yang terletak di barat daya negeri Ogun, Nigeria. 

Dalam video yang tersebar luas di media sosial, kelihatan kakitangan wanita menyentuh dada pelajar perempuan ketika mereka beratur di luar dewan peperiksaan.

Setakat ini, pihak universiti masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung kejadian tersebut. 

Namun begitu, video berkenaan telah mencetuskan gelombang kemarahan di pelbagai platform media sosial, dengan ramai mengecam tindakan itu sebagai melampaui batas dan melanggar privasi pelajar.

Menurut laporan, pemeriksaan fizikal itu dilakukan sebagai sebahagian daripada usaha pihak universiti untuk menguatkuasakan etika berpakaian dalam kalangan pelajar. 

Kakitangan didakwa menjalankan pemeriksaan untuk memastikan pematuhan kepada etika pemakaian, kononnya bagi mengekalkan suasana akademik yang profesional.

Pemimpin kesatuan pelajar, Muizz Olanrewaju Olatunji, tampil mempertahankan dasar tersebut melalui kenyataannya di platform X.

Ujarnya, pemeriksaan itu adalah sebahagian daripada dasar kod pakaian yang bertujuan untuk mengekalkan persekitaran yang hormat dan bebas gangguan, selain menekankan bahawa pelajar digalakkan berpakaian sopan selaras dengan nilai institusi. -Agensi

 

Artikel Lain