SEPASANG suami isteri mencetuskan kontroversi apabila mereka mengupah dua penari tiang untuk membuat persembahan sempena majlis graduasi anak lelaki mereka.
Persembahan berlangsung di luar kawasan Sekolah Menengah Rendah Wanhe, Taichung, Taiwan pada minggu lalu, sejurus selepas majlis graduasi tamat dan para pelajar mula keluar dari bangunan sekolah.
Pelajar dan ibu bapa yang berada di kawasan sekitar dilaporkan berkumpul untuk menonton persembahan luar biasa tersebut, namun rata-ratanya terkejut dan tidak percaya dengan apa yang sedang berlaku.
Seorang remaja lelaki dipercayai anak kepada pasangan tersebut, dijemput untuk berdiri di antara kedua-dua penari semasa persembahan sedang berlangsung.
Wajahnya jelas mempamerkan riak serba salah dan malu sepanjang beberapa minit persembahan berlangsung.
Tidak lama kemudian, kedua-dua penari naik ke atas bumbung dua buah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang masing-masing dipasang dengan tiang khas, dan meneruskan aksi mereka dari atas kenderaan tersebut.
Menurut ibu pelajar terbabit, persembahan itu sebenarnya ditaja oleh seorang rakan.
Katanya, dia hanya mahu menjadikan sambutan graduasi anaknya lebih kreatif berbanding keluarga lain.
"Saya harap ini akan menjadi hadiah graduasi yang tidak dapat dilupakan untuk anak saya," tambah wanita yang tidak didedahakn identiti itu.
Namun begitu, pihak sekolah menyatakan bahawa mereka tidak menyokong sebarang bentuk kegiatan sedemikian.
Kejadian itu juga telah menarik perhatian pihak polis, yang bertindak menyuraikan kumpulan tersebut atas alasan mengganggu ketenteraman awam. -Agensi