SEORANG remaja lelaki berusia 15 tahun disyaki menembak bapa kandungnya bermotifkan perasaan dendam kerana sering didera semasa kecil.
Semasa kejadian, dia yang sedang dipukul mangsa bertindak pantas mengambil pistol berukuran sembilan milimeter dari bilik tidur utama dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah bapanya.
Kejadian dilaporkan berlaku di kediaman mereka di Isaan, Buriram, Thailand.
ARTIKEL BERKAITAN: Remaja disyaki bunuh ibu, abang kandung direman tujuh hari
Mangsa, Choksan dikejarkan ke hospital sejurus terkena tembakan di bawah lengan bahagian kanan.
"Tidak pasti tembakan mengenai sasaran atau tidak. Saya hanya melihat ayah lari menyelamatkan diri," dakwa remaja terbabit.
Suspek melepaskan kira-kira lapan das tembakan ke arah mangsa. -Foto Facebook Buriramguru
Kira-kira sepuluh hari sebelum kejadian, dia seolah-olah memberi 'gambaran' awal kepada neneknya.
"Kenapa saya diseksa seperti ini? Kalau saya bunuh orang, teruk sangat ke dosanya?," ujar anak sulung daripada empat adik-beradik itu yang didakwa menjadi mangsa penderaan sejak berusia lapan tahun lagi.
Bukan itu sahaja, dia pernah mengalami kecederaan di bahagian kepala, kening dan mulut sekali gus menyukarkan dirinya untuk makan selama berminggu-minggu.
Lebih menyedihkan, remaja malang itu dikatakan hampir buta akibat dipukul.
Mengulas insiden yang berlaku, polis Lam Plai Mat, Superintenden Wachirawit Wanthanee berkata, suspek ditahan di Ban Nong Hua Chang Phattana pada malam Rabu.
"Setakat ini, suspek belum lagi dijatuhkan sebarang hukuman," katanya.
Dalam perkembangan yang lain, pistol dipercayai milik lelaki berusia 51 tahun itu rupa-rupanya berdaftar di bawah penama yang lain.
Sehubungan itu, pegawai polis akan menjalankan siasatan berhubung pemilikan senjata api selain mengambil keterangan remaja itu untuk tindakan selanjutnya. -Agensi