PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akan membuat keputusan dalam tempoh dua minggu sama ada tenteranya akan terlibat secara langsung dalam konflik antara Israel dan Iran.
Ini susulan 'peluang besar' untuk rundingan semula berkaitan program nuklear Iran.
Kenyataan itu dibacakan oleh Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt pada Khamis.
Trump dikatakan sedang mempertimbangkan untuk menyerang kemudahan uranium Iran di Fordo yang terletak di bawah gunung dan hanya boleh dimusnahkan dengan bom penembus kubu milik AS.
Terdahulu, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, mengugut Ayatollah Ali Khamenei selepas peluru berpandu Iran mengenai sebuah hospital utama di Beersheba dan kawasan perumahan berhampiran Tel Aviv, mencederakan sekurang-kurangnya 240 orang.
“Kami telah diarahkan dan tahu bahawa bagi mencapai semua matlamat ketenteraan kami, lelaki ini (Khamenei) tidak sepatutnya terus wujud,” kata Katz.
Ketika pasukan penyelamat memindahkan pesakit dari hospital yang terbakar, jet pejuang Israel melancarkan serangan terkini ke atas program nuklear Iran.
Iran mendakwa tidak berniat menyerang hospital dan menyatakan sasaran sebenar ialah kemudahan unit teknologi elit tentera Israel, C4i, yang terletak berdekatan.
Menurut laporan hak asasi manusia berpusat di Washington, sekurang-kurangnya 657 orang terbunuh di Iran sejak serangan Israel bermula Jumaat lalu, termasuk 263 orang awam dan lebih 2,000 cedera.
Sebagai tindak balas, Iran melancarkan 450 peluru berpandu dan 1,000 dron ke arah Israel. Namun, sistem pertahanan udara pelbagai lapisan Israel berjaya memintas kebanyakan serangan.
Setakat ini, 24 rakyat Israel terkorban dan ratusan cedera.
Meskipun konflik semakin memuncak, usaha diplomatik masih berjalan. Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi dijadualkan ke Geneva pada Jumaat untuk bertemu diplomat dari Eropah, United Kingdom, Perancis dan Jerman.
Namun, Pemimpin Tertinggi Iran tetap bertegas menolak sebarang penyerahan dan memberi amaran bahawa penglibatan ketenteraan AS akan membawa 'kerosakan yang tidak dapat diperbaiki'.
Rundingan tidak langsung terbaru antara Iran dan AS yang dijadualkan Ahad lalu juga telah dibatalkan.-Agensi