SEBUAH belon udara panas terbakar dan terhempas di negeri selatan Brazil, Santa Catarina, pada pagi Sabtu, mengakibatkan lapan orang maut dan 13 lagi cedera, menurut kenyataan bomba.
Rakaman video yang dikongsi oleh saluran berita tempatan, G1 menunjukkan kepulan asap tebal keluar dari belon yang sedang terbakar ketika ia meluncur laju ke tanah di kawasan perbandaran Praia Grande.
Dalam satu lagi video tular [Tonton Video] di media sosial, dua individu dilihat jatuh dari udara ketika api sedang marak memusnahkan belon tersebut di udara.
Ketua Polis Awam Santa Catarina, Ulisses Gabriel, dalam satu hantaran di platform X, melaporkan bahawa tiga mangsa ditemui mati dalam keadaan berpelukan antara satu sama lain.
Menurut Pasukan Bomba Tentera Santa Catarina, seramai 21 orang berada dalam belon tersebut ketika kejadian berlaku, termasuk juruterbang.
Dari jumlah tersebut, 13 mangsa yang terselamat telah dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.
Ketua Polis Praia Grande, Tiago Luiz Lemos berkata, juruterbang yang terselamat dalam insiden itu memaklumkan kebakaran bermula di dalam bakul belon.
"Juruterbang berkata api mula merebak di dalam bakul, dan dia segera menurunkan belon. Apabila belon hampir mencecah tanah, dia mengarahkan penumpang melompat keluar.
"Namun, ada di antara mereka tidak sempat melompat keluar. Api terus marak dan akhirnya belon itu jatuh terhempas," tambahnya lagi.
Pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran serta kemungkinan kecuaian teknikal atau pelanggaran keselamatan. -Agensi


