SEORANG lelaki mengamuk dan merosakkan sebuah kereta dengan kapak selepas bertengkar di jalan raya pada Selasa lalu.
Menurut mangsa yang berumur 31 tahun, ketika kejadian dia sedang memandu bersama isteri dan anak lelaki berusia lima tahun.
Dalam kejadian pukul 7.58 pagi itu, ketika di lampu isyarat, mangsa yang dikenali sebagai Withit tidak segera bergerak selepas lampu bertukar hijau.
Tindakan itu dipercayai menyebabkan pemandu kereta sedan hitam di belakangnya berang.
Kejadian dilaporkan berlaku di Chon Buri, Thailand.
Suspek kemudiannya memotong dan mengambil kedudukan di hadapan kereta Withit, sebelum memberhentikan kenderaannya di kawasan berhampiran sekolah.
Withit memberitahu, dia meneruskan pemanduan dan masuk ke lorong berhampiran sekolah untuk menghantar anaknya.
Namun, belum sempat dia dan anak keluar dari kenderaan, suspek memberhentikan keretanya di belakang kereta Withit dan keluar sambil memegang sebilah pisau serta kapak.
Suspek kemudian dilaporkan memukul bahagian kanan kereta Withit dengan kapak, iaitu tempat berhampiran tempat duduk anak mangsa.
Bimbang keselamatan keluarga, Withit segera memecut meninggalkan lokasi kejadian dan segera membuat laporan polis.
Polis berjaya mengesan nombor pendaftaran kenderaan suspek yang berdaftar atas nama seorang wanita.
Wanita tersebut bagaimanapun menafikan memberikan kenderaannya kepada sesiapa dan dia kemudian dipanggil bagi membantu siasatan.
Kes kini masih dalam siasatan pihak berkuasa.-Agensi