SEORANG warga emas dikejutkan dengan penemuan berus gigi sepanjang 17 sentimeter (cm) dalam ususnya, dipercayai sudah berada di situ selama 52 tahun.
Lelaki berusia 64 tahun itu tertelan berus gigi itu ketika berusia 12 tahun, namun tidak memaklumkan kepada ibu bapanya kerana takut dimarahi.
Dia yang dikenali sebagai Yang menganggap objek itu akan larut sendiri dalam tubuh.
Kejadian dilaporkan berlaku di wilayah Anhui, timur China.
Selama lebih lima dekad, Yang tidak mengalami sebarang masalah kesihatan, sehinggalah baru-baru ini dia berasa tidak selesa di bahagian perut dan mendapatkan rawatan.
Doktor di hospital tempatan menjalankan pemeriksaan endoskopi dan menemui berus gigi itu tersangkut di dalam usus kecil.
Prosedur pembedahan endoskopi dilakukan dan berus gigi itu berjaya dikeluarkan dalam masa 80 minit.
Menurut Dr Zhou, berus gigi yang terperangkap dalam usus boleh menyebabkan perforasi usus, iaitu keadaan di mana dinding usus bocor dan boleh membawa maut.
Namun, dalam kes Yang, objek tersebut tersangkut di lekuk usus dan hampir tidak bergerak selama puluhan tahun, menyelamatkannya daripada komplikasi serius.
Kes ini dikatakan antara objek paling panjang yang pernah dikeluarkan dari sistem pencernaan pesakit oleh hospital itu dalam tempoh tiga tahun.
Yang kini pulih dan dinasihatkan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala.
Doktor turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil ringan jika tertelan objek asing dan segera mendapatkan rawatan.-Agensi