SATU insiden mengejutkan berlaku di sebuah lapangan terbang apabila seorang lelaki tiba-tiba menghempas seorang budak lelaki berusia 18 bulan dengan ganas ke lantai.
Kanak-kanak itu kini sedang koma dan dilaporkan mengalami keretakan teruk di tengkorak serta kecederaan tulang belakang.
Kejadian berlaku di Moscow, Rusia pada Selasa dengan video kejadian itu tular di media sosial [Tonton Video].
Kanak-kanak itu dan ibunya yang sedang hamil baru tiba di Rusia selepas melarikan diri dari konflik di Iran.
Suspek, yang dikenal pasti sebagai Vladimir Vitkov, 31, dari Belarus, segera ditahan oleh pihak berkuasa selepas melakukan serangan itu.
Siasatan awal mendedahkan Vitkov di bawah pengaruh dadah dan polis percaya ia menjadi punca dia bertindak ganas seperti itu.
Mangsa dikejarkan ke hospital dan masih dalam keadaan kritikal.
Ibunya berada dekat dengannya ketika dia dihempas.
Vitkov kini disiasat atas cubaan membunuh.
Pihak berkuasa juga sedang meneliti sama ada serangan itu bermotifkan perkauman atau dipengaruhi oleh faktor lain. -Agensi


