suria

Rider terkejut ‘parcel’ dikirim berisi mayat bayi, nota sisipan undang sayu

Ujian DNA dapat membantu mengenalpasti hubungan antara bayi dan penjaganya. -Gambar hiasan

GARA-GARA ingin menghapuskan bahan bukti, sepasang adik beradik bertindak mengirim mayat bayi menggunakan khidmat penghantaran, disyaki hasil perbuatan sumbang mahram.

Saksi, Yusuf Ansari selaku pekerja penghantaran (rider) upahan mendedahkan menerima pesanan pengiriman barang menerusi satu aplikasi dalam talian.

Dia kemudian bertemu pelanggan dikenali sebagai 'Rudi' bersama seorang wanita di hadapan sebuah kedai serbaneka di Medan, Indonesia.

Pasangan terbabit terus menyerahkan bungkusan di dalam kotak kadbod yang ditujukan kepada penerima bernama Putri.

"Setelah dihubungi, penerima sempat meminta bungkusan terbabit dihantarkan ke masjid, namun ditolaknya kerana tiada sesiapa di lokasi," menurut Pengerusi Persatuan Teksi Motosikal Dua Roda Medan dan Sekitar (Godams), Agam Zubir.

ARTIKEL BERKAITAN: Tergamak buang bayi baru lahir hingga maut, wanita mahu berseronok dengan kawan di pesta

Yusuf kemudian bertanyakan identiti wanita itu kepada penduduk setempat memandangkan nombornya dikesan tidak lagi aktif, namun tiada sesiapa mengenalinya.

"Kerana tiada sesiapa yang kenal, maka dia nekad membuka bungkusan kadbod itu bersama penduduk setempat. Amat mengejutkan, ternyata ada mayat bayi ditutupi helaian kain," ujarnya lagi.

Selain itu, sekeping nota turut ditemukan terselit bersama mayat yang meminta 'bungkusan' berkenaan dihantar ke masjid.

Kawasan penghantaran asal pula dikatakan menuju ke kawasan pengebumian di Jalan Bilal, Medan Timur.

Mengulas tentang kejadian, Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Kota Medan, Pesuruhjaya Kanan Bayu Putro Wijayanto berkata, ujian DNA akan dilakukan bagi memastikan pertalian suspek dengan mangsa.

Dalam pada itu, Ketua Polis Medan, Pesuruhjaya Kanan Gidion Arif Setyawan mengesahkan penangkapan pasangan terbabit dan memaklumkan siasatan kes masih lagi berjalan. -Agensi

Artikel Lain