suria

Majikan dapat ‘durian runtuh’... Pekerja diberi cuti, bonus hampir RM6,000

Pekerja turut diraikan apabila sesebuah syarikat menerima keuntungan. -Gambar hiasan

SEORANG pemilik pasar raya di China menjadi tular selepas mengagihkan hampir 10 juta yuan (kira-kira RM9 juta) hasil pelaburan emas kepada lebih 2,000 pekerjanya, termasuk tukang masak dan pekerja pembersihan.

Liu Mingjun, bekas pemuzik yang kini usahawan, membuka pasar raya Ronghe 1+1 di wilayah Shanxi pada tahun 2021. 

Kini, perniagaannya telah berkembang dengan 33 cawangan dan mempunyai lebih 2,000 pekerja.

Liu berkata dia memperoleh keuntungan besar daripada pelaburan perniagaan emas selama setahun dan memutuskan untuk berkongsi keuntungan itu dengan semua pekerjanya.

Mereka yang bekerja lebih dua tahun menerima 10,000 yuan (RM5,977), manakala yang bekerja antara satu hingga dua tahun menerima 2,000 yuan (RM1,195) dan dua hari cuti. 

Pekerja baru turut menerima 1,000 yuan (RM597) dan cuti.

Menurut Liu, pemberian itu bukan untuk mendorong kakitangannya supaya bekerja lebih keras, tetapi kerana dia memang berhasrat berkongsi kekayaan jika berjaya.

Dia juga merancang untuk membuka lebih banyak cawangan di masa depan dan berjanji ia bukan kali terakhir dia akan berkongsi keuntungan.

Ramai netizen memuji tindakan Liu, malah ada yang berkata mereka sanggup bekerja lebih kuat jika ada bos seperti itu.

Artikel Lain