suria

Lebih 25,000 penduduk 'khayal' ganja

Bungkusan 20 tan ganja disusun dalam bentuk huruf sebelum dibakar.

PULUHAN ribu penduduk secara tidak sengaja khayal dengan ganja selepas terhidu bahan terlarang itu yang dibakar oleh pihak berkuasa.

Sejumlah 20 tan ganja yang dirampas dibakar polis di kawasan yang didiami lebih 25,000 penduduk hingga mengakibatkan sebahagian besar mengalami pening, mual dan berasa keliru.

"Bau dadah telah menyelubungi daerah ini selama beberapa hari dengan kami tidak boleh membuka tingkap.

"Anak-anak kami jatuh sakit, kami sentiasa pergi ke hospital,” kata seorang penduduk di wilayah Diyarbakır di tenggara Turkiye.

Pihak berkuasa telah membakar ganja yang dianggarkan 10 bilion Lira Turki (kira-kira RM1.2 juta) yang telah dikumpul dari seluruh wilayah pada 2023 dan 2024.

Operasi pembuangan dadah besar-besaran itu dijalankan pada 18 April oleh Komando Gendarmeri Daerah Lice, menyebabkan asap tebal memenuhi udara di bandar itu selama beberapa hari.

Polis turut menyusun beg ganja menjadi huruf yang mengeja nama bandar itu sebelum membakarnya dengan Pengerusi Persatuan Yesil Yildiz, Yahya Oger beranggapan ia perbuatan yang tidak boleh diterima.

“Ini mungkin dilakukan sebagai langkah pencegahan untuk memberi amaran, tetapi fakta bahawa ia dibakar di pusat bandar boleh menyebabkan ketidakselesaan yang serius kepada orang ramai akibat asap ganja yang terbakar,” kata Oger.

Beliau mencadangkan agar pembuangan dadah pada masa akan datang dilakukan di kilang yang mempunyai cerobong berpenapis, bukannya di tempat tinggal orang ramai.

“Ia boleh membuatkan orang mabuk, pusing, mual, dan menyebabkan halusinasi," katanya.-Agensi

Artikel Lain