BERILMU sambil beramal, itu lah prinsip seorang doktor yang menuai pujian ramai ekoran hanya mengenakan caj perubatan seikhlas hati.
Meskipun begitu, etika profesional kekal diutamakan apabila menawarkan pemeriksaan lengkap merangkumi tekanan darah, denyutan nadi, hingga mengukur paras gula dalam darah, kolestrol, serta gout.
Dr Rafika Augustine, 34, seorang pengusaha klinik sederhana di Ponorogo, Indonesia ini dikatakan baru sahaja memasuki tempoh dua minggu beroperasi dan setakat ini menerima kira-kira empat hingga lima orang pesakit sehari dari pelbagai peringkat umur.
Tampak seperti klinik biasa, namun suasana berbeza dilihat sebaik sahaja pesakit memasuki ruang menunggu memandangkan tiada kaunter pembayaran dibuka mahupun kadar bayaran tertentu dikenakan.
Setelah diperiksa dan diberi ubat, pesakit hanya perlu memasukkan wang ke dalam kotak derma yang tersedia.
"Pesakit boleh bayar mengikut kemampuan. Baik hasil kebun seperti buah, sayur atau beras.
"Sekiranya benar-benar tiada, cukup berbekalkan doa yang ikhlas," ujarnya yang turut menawarkan rawatan percuma khusus buat pemandu teksi motosikal (ojek).
Menurutnya, pengecualian tersebut berpunca daripada ayah saudaranya yang mencari rezeki sebagai pemandu ojek.
"Pakcik saya bawa ojek. Kadang-kadang nak makan pun susah, apatah lagi kalau ahli keluarga jatuh sakit. Jadi saya tahu sangat susahnya," ujar Dr Rafika.
Graduan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Muhammadiyah Yogyakarta ini menganggap kerjayanya sebagai suatu ibadah.
"Ilmu yang saya miliki ini suatu amanah. Jadi saya berhasrat memanfaatkannya agar tidak terhenti setakat itu, sekali gus menjadi ladang pahala," menurutnya secara peribadi. -Agensi