SEORANG warga emas wanita berusia 76 tahun ditendang dan dipukul bertubi-tubi oleh warga setempat selepas dituduh menculik seorang kanak-kanak.
Menerusi rakaman video tular, mangsa yang dikenali sebagai Asyah dikerumun sekumpulan penduduk sebelum dipukul dan ditendang tanpa belas ehsan.
Perbuatan itu mengakibatkan dia mengalami lebam di beberapa bahagian muka dan belakang badan.
Kejadian dilaporkan berlaku di Cianjur, Indonesia.
Mengulas tentang kejadian itu, cucunya, Azizah, 30, meluahkan rasa kecewa apabila neneknya berterusan dituduh sebagai penculik meskipun dia telah menjelaskan insiden yang berlaku.
Menurut wanita ini, sebelum kejadian berlaku, neneknya baru sahaja mengeluarkan wang pencen arwah suaminya.
Keuzuran diri membuatkan dia meminta bantuan seorang kanak-kanak untuk memimpinnya pulang, memandangkan jarak lokasi kejadian dan rumah hanya selang lima minit menggunakan motosikal.
Namun, kanak-kanak terbabit tiba-tiba berlari meninggalkannya dan menyebabkan seorang penduduk menjerit sambil menuduhnya sebagai penculik.
"Sepatutnya tanya dulu, bukan terus pukul. Bahkan sepanjang perjalanan masih ada yang menggelar nenek sebagai penculik walaupun sudah dijelaskan," ujarnya kecewa dengan sikap segelintir penduduk.
Dalam perkembangan lain, peguam bela, Fanfan Nugraha memaklumkan mangsa masih belum dapat dihubungi sehingga kini ekoran kecederaan dialami.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Cianjur, AKP Tono Listianto mengesahkan aduan dilaporkan keluarga mangsa dan sedang menjejaki suspek yang dipercayai lebih daripada seorang.
"Rumah suspek telah pun dikenal pasti, namun didapati kosong setelah serbuan dijalankan, disyaki melarikan diri. Kami akan segera mengesannya," ujarnya. -Agensi