MALANG tidak berbau.
Seekor kucing mengalami kecederaan parah selepas 'digoreng hidup-hidup' kerana terjatuh ke dalam periuk berisi minyak panas.
Kucing berwarna putih kekuningan yang dinamakan Wuyi, dikatakan tergelincir dari tebing sebelum terjatuh ke dalam berkenaan yang diletakkan di luar restoran.
Percikan minyak mengakibatkan sembilan orang pengunjung turut mengalami kecederaan.
Insiden menyayat hati itu dilaporkan berlaku 2 Mei lalu di sebuah restoran di Chongqing, China.
Menurut pemilik restoran, Zhong, kucing terbabit berada dalam keadaan bergulung dengan badan berlumuran minyak panas.
Dia yang bimbang keadaan kesihatan kucing itu, terus berkejar ke veterinar bagi mendapatkan rawatan.
Beberapa pengunjung tersimbah minyak panas dihantar ke hospital berdekatan. -Foto QQ.com
Tambahnya, kos rawatan mencecah 3,000 yuan (RM1,759) dan perbelanjaan harian sebanyak 1,000 yuan (RM587) apabila disahkan melecur pada kesemua anggota badan, patah tulang yang ringan serta demam.
"Kucing itu cedera di restoran kami. Kami bertanggungjawab menyelamatkannya, ia juga makhluk bernyawa," kata Zhong.
Bagaimanapun, kucing itu dilaporkan mati pada 6 Mei setelah beberapa hari bertarung nyawa ekoran kesihatannya yang memburuk.
Malah hajat Zhong untuk menjadikannya sebagai 'pengawal' tidak kesampaian.
Dalam pada itu, Zhong turut bertanggungjawab ke atas pelanggan yang terlibat dan melunaskan bil hospital sejumlah 10,000 yuan (RM5,863) serta tambahan 13,000 yuan (RM7,622) sebagai pampasan bagi lain-lain kerugian.
Diskaun juga kepada pengunjung lain yang berada di lokasi.
Topik berkenaan menjadi bualan hangat di media sosial, meraih lebih 30 juta tontonan dengan rata-rata pencinta kucing menzahirkan simpati akan nasib yang menimpa haiwan berkenaan selain memuji tindakan pemilik kedai. -Agensi