SEBUAH video tular di media sosial memaparkan seorang wanita disergah pemilik kedai kerana mencuri bertin-tin sardin yang disembunyikan dalam pakaiannya.
Kegiatannya itu dipercayai dilakukan sejak dua tahun lalu tetapi baru kini terbongkar ketika dia membuat pembayaran di kaunter kedai runcit berkenaan di Pekanbaru, Indonesia pada Sabtu lalu.
Pada hari dia ditangkap, cubaan mencuri 19 tin sardin yang disumbat masuk ke dalam beg dan seluar ternyata gagal.
Suspek dilihat ketakutan dan terduduk di atas lantai setelah pemilik kedai mengugut untuk menyerahkannya kepada pihak polis.
Kegiatannya itu telah dipantau sejak akhir-akhir ini menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) selepas pemilik kedai berasa curiga kerana barang jualannya selalu hilang.
"Keluarkan semuanya, sudah dua tahun ya kau jadi pelanggan tetap di sini. Habis sardin aku dekat kau.
"Aku tak maafkan, keluarkan lagi atau aku telanjangkan," jerit pemilik kedai tersebut.
Pemilik kedai akan membawa kes ini ke mahkamah bagi menuntut kembali jumlah kerugian yang dialaminya selama dua tahun.
"Berapa banyak dah kau curi, mungkin Rp500,000 (RM129) sehari. Sardin sahaja Rp34,000 (RM9) setin.
"Aku dah tak rasa kesian. Kita berdamai di balai polis, kita darab semua selama dua tahun, berapa ratus juta Rupiah," tegasnya.
Pegawai penyiasat Polis Rumbai Pesisir kemudian mengesahkan menerima aduan daripada mangsa dan proses siasatan sedang dijalankan. -Agensi