suria

Didenda turun naik tangga 50 kali, pemuda terus letak jawatan... Rupanya gagal capai sasaran jualan

Rakaman video yang didakwa sebagai hukuman kepadanya kerana gagal mencapai sasaran jualan.

GARA-GARA tidak mencapai sasaran jualan yang ditetapkan syarikat, seorang pekerja didenda ulang-alik menaiki tangga sambil memegang telinga sebanyak 50 kali.

Kecewa dengan situasi yang berlaku pada 4 April itu, dia memutuskan untuk berhenti dua hari kemudian.

Menurut pemuda berusia 24 tahun itu, perletakan jawatan dilakukan kerana dia tidak tahan dengan gangguan mental, fitnah dan penghinaan profesional yang berulang daripada pihak majikan.

Kejadian dilaporkan berlaku di Gurgaon, India itu turut dikongsikan di laman sosial miliknya dengan kapsyen 'saya berjaya mendapatkan video ini untuk menyokong kes'.

Ia berikutan dia telah menandatangani perjanjian yang menyatakan dirinya akan didenda jika gagal mencapai sasaran.

"Setiap hari, saya didesak untuk menghantar jumlah tertentu. 

"Pada suatu hari, saya terpaksa menandatangani perjanjian yang menyatakan jika saya gagal mencapai sasaran, saya akan melakukan 50 pusingan tangga sebagai hukuman," katanya.

Bagaimanapun, bilangan pusingan dikurangkan kepada 10.

Rakaman video yang dikongsikan menjadi tular dan mendapat perhatian warga maya.

Susulan itu, ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat berkenaan tampil menafikan insiden yang berlaku dan menganggapnya sebagai fitnah setelah ia dibuat selepas pekerja terbabit gagal mendapatkan tuntutan sebanyak 3.6 lakhs (kira-kira RM1.5 juta).

Malah dakwanya, video tersebut dirakam ketika aktiviti berpasukan dan tidak formal.

Pada masa sama, CEO berkenaan menyatakan dia sering menerima ugutan sejak pekerja itu mendedahkan dakwaan palsu secara terbuka. -Hindustan Times

 

Artikel Lain