HUBUNGAN sulit pasangan kekasih berakhir dengan tragedi selepas seorang wanita dibunuh, dan mayatnya disimen dipercayai dilakukan oleh teman lelaki yang sudah berkahwin.
Hasil bedah siasat mendapati lebam di pipi kanan dan kiri mangsa serta berlaku pendarahan pada otak, dipercayai dipukul berulang kali sehingga meninggal dunia.
Mayat wanita berusia 48 tahun itu ditemukan dalam keadaan disimen di halaman belakang rumah bapa suspek.
"Saya cekik dan tekup dia (mangsa) dari belakang. Setelah tanam (mayat), saya simen agar tidak berbau," kata suspek berusia 34 tahun membuat pengakuan.
Penemuan mayat mangsa berlaku di Wonogiri, Jawa Tengah, Indonesia pada Khamis lalu.
Mangsa dipercayai dibunuh pada 11 Februari lalu, sehari selepas dijemput menaiki sebuah kereta berwarna merah, menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Wonogiri, Inspektor Pertama Agung Sedewo.
Beliau berkata, mangsa didakwa meminta suspek bertanggungjawab dengan menikahinya, namun suspek yang dikatakan sudah berkeluarga bimbang hubungan sulitnya itu terbongkar.
Bagaimanapun, spekulasi mengenai mangsa yang hamil luar nikah belum disahkan.
Setakat ini, seramai enam saksi sudah pun diperiksa dan siasatan masih berjalan.
Pada masa sama, polis tidak menolak kemungkinan lebih ramai saksi akan dipanggil bagi membantu siasatan. -Agensi