suria

Pesawat terhempas di kawasan paya, 5 mangsa nyaris dibaham buaya

Mangsa berjaya diselamatkan selepas 36 jam pesawat itu mendarat cemas di kawasan paya.

LIMA individu berjaya diselamatkan selepas menghabiskan 36 jam di atas bangkai sebuah pesawat selepas ia mendarat cemas di kawasan paya yang dipenuhi buaya.

Pesawat kecil itu ditemui nelayan tempatan di wilayah Amazonas, Bolivia pada Jumaat selepas dilaporkan hilang selama 48 jam.

Mangsa terdiri daripada tiga wanita, seorang kanak-kanak dan juruterbang berusia 29 tahun.

Mereka berjaya diselamatkan dalam keadaan baik, kata Wilson Avila, pengarah pusat operasi kecemasan Jabatan Beni.

Misi mencari dan menyelamat dilancarkan pada Khamis selepas pesawat itu hilang dari radar Jabatan Beni di tengah Bolivia.

ARTIKEL BERKAITAN: Pesawat hilang akhirnya ditemukan, kesemua penumpang dan juruterbang terbunuh

Juruterbang, Andres Velarde, memberitahu media tempatan kerosakan enjin memaksanya melakukan pendaratan cemas berhampiran Sungai Itanomas.

Dia ketika itu dalam penerbangan dari Baures di utara Bolivia ke bandar Trinidad.

Kelima-lima individu itu berada di atas badan pesawat dan dikelilingi buaya yang menghampiri sejauh tiga meter.

Velarde percaya kebocoran petrol daripada pesawat itu menghalang haiwan pemangsa berkenaan daripada mendekati mereka.

Dakwanya, dia turut melihat seekor ular anakonda di dalam air.

Sebuah helikopter dihantar untuk membawa keluar semua mangsa sebelum mereka dihantar ke hospital. -Agensi

Artikel Lain