suria

Wanita cemas ‘dikurung’ rakan sekerja dalam peti sejuk beku, merayu minta tolong

Seorang lelaki dilihat mengunci rakan sekerjanya di dalam peti sejuk beku. Foto SCMP composite/Douyin

SEORANG pekerja wanita berdepan detik cemas selepas dikurung oleh rakan sekerjanya dalam peti sejuk beku di sebuah kedai bakeri.

Ketika dikurung, dia cuba mengetuk pintu peti sejuk beku dengan kuat bagi melepaskan diri.

Tindakan yang dilakukan oleh rakan sekerja mangsa, dikatakan sebagai satu gurauan (prank) terhadapnya.

Kejadian berlaku di selatan China, pada akhir Mac lalu.

Memetik The Paper, wanita itu berjaya menyelamatkan diri  itu, selepas menghubungi majikannya menggunakan telefon bimbitnya bagi mendapatkan bantuan.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah kedai bakeri di Jieyang di wilayah Guangdong pada 31 Mac lalu, menunjukkan mangsa memasuki stor peti sejuk beku bagi mendapatkan bahan mentah dengan pintu terbuka sedikit.

Seorang pekerja lelaki mendekati stor berkenaan sebelum menutup pintu sejuk beku dan melarikan diri.

Lelaki itu kemudian kembali ke tempat kejadian, dan kedengaran suara mangsa cuba menghentak pintu dari dalam dan merayu meminta tolong. Bagaimanapun, pekerja lelaki itu tidak membuka pintu stor dan membiarkan mangsa berada di dalamnya.

Dilaporkan, suhu di dalam stor tersebut adalah -18 darjah Celsius.

Wanita itu kemudian berjaya membuka pintu dari dalam dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, pekerja lelaki yang membuat gurauan berkenaan mengaku melakukan kesilapan dan memohon maaf kepada rakannya.

Pada 24 April lalu, seorang jurucakap dari kerajaan tempatan memberitahu pemberita bahawa kes tersebut sudah diselesaikan dengan cara baik. -Agensi

Artikel Lain