CUBAAN seorang wanita mempertahankan diri dari 'dibelasah' suaminya berakhir tragedi apabila lelaki itu maut akibat dirempuh.
Kemalangan berlaku apabila, wanita dikenali sebagai Cao melompat masuk ke dalam kereta dan memandunya bagi melarikan diri daripada mangsa, Liu.
Pada masa itu, mangsa berpaut pada bonet kereta bagi menghalang pemanduan diteruskan isterinya.
Namun Cao terus memecut sehingga merempuh taman bunga dan mengakibatkan Liu cedera parah serta meninggal dunia disebabkan beberapa organ dalamannya pecah.
Cao turut mengalami patah tulang dan kecederaan dalaman akibat kejadian di Hebei, China.
Susulan kemalangan tersebut, pada 24 Mac, mahkamah mendapati Cao bersalah kerana membunuh dengan sengaja dan menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun.
Mahkamah berkata, Cao tahu Liu berpaut pada bonet kereta tetapi masih memandu pada kelajuan tinggi, seterusnya mengakibatkan kemalangan maut.
Mahkamah juga berkata bahawa Cao tidak diserang secara langsung semasa memandu dan ancaman daripada Liu adalah tidak pasti, menolak pembelaan diri yang wajar.
Cao dan keluarganya tampil membuat rayuan, dengan alasan dia tidak berniat untuk membunuh dan bertindak untuk mempertahan serta melarikan diri selepas mengalami keganasan rumah tangga.
Ibunya, bernama Xing, menambah bahawa beberapa kecederaan Cao, termasuk kerosakan pada pankreasnya, mungkin disebabkan oleh serangan Liu sebelum ini, bukan kemalangan.
Cao juga mengakui, pada hari kejadian Liu mengugut menggunakan pisau, menghinanya, dan menyerangnya berhampiran flat mereka.
Pergaduhan semakin memuncak apabila Liu mengheret Cao dan mengoyakkan pakaiannya.
Untuk rekod, kedua-dua pasangan ini bertemu melalui perkenalan keluarga seterusnya menjalin hubungan selama beberapa tahun sebelum mendirikan rumah tangga pada 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata. -South China Morning Post


