suria

Memancing tanpa izin, budak 12 tahun ditembak pemilik kolam ikan keli

Polis menunjukkan selaras senapang angin yang dirampas daripada pemilik kolam berkenaan. -Foto Detik

SEORANG budak lelaki berusia 12 tahun ditembak dengan senapang angin oleh seorang pemilik kolam ternakan gara-gara memancing tanpa mendapat keizinan.

Akibat tembakan tersebut, mangsa mengalami kecederaan pada lengan kiri dan perlu menjalani pembedahan bagi mengeluarkan peluru.

Kejadian dilaporkan berlaku pada Selasa lalu di Siman, Ponorogo, Jawa Timur.

Menurut polis, pemilik kolam yang juga penduduk kampung berkenaan mengakui melepaskan tembakan untuk memberi amaran selepas mendapati terdapat empat individu sedang memancing secara curi-curi di kolam ikan kelinya.

Tambahnya, dia terpaksa berbuat demikian selepas kolam ternakannya sudah beberapa kali diceroboh. 

Ketua Polis Daerah Siman, AKP Nanang Budianto berkata, polis sudah menahan pemilik kolam berkenaan untuk membantu siasatan.

Polis turut merampas selaras senapang angin jenama Sharp Innova berkaliber 4.5 mm, satu tin pelet dan sebatang joran berwarna putih milik mangsa. -Agensi

Artikel Lain