suria

Ahli perniagaan wanita obses mahu kahwini penyampai televisyen, upah 4 lelaki culik mangsa

Wanita bernama Bhogireddy Trishna menculik seorang penyampai televisyen, Pranav Sistla kerana mahu mengahwini lelaki itu.

SEORANG ahli perniagaan wanita dari Telangana, India ditahan polis atas dakwaan menculik seorang penyampai televisyen kerana mahu mengahwini lelaki tersebut.

Menurut polis, wanita bernama Bhogireddy Trishna, 31, yang merupakan pemilik perniagaan pemasaran digital, terpikat kepada Pranav Sistla selepas melihat profil penyampai televisyen tersebut di sebuah laman mencari jodoh, dua tahun lalu.

Trishna berjaya memperoleh nombor telefon Sistla selepas membuat carian dan mula menghantar mesej kepada lelaki tersebut.

Bagaimanapun, Sistla memaklumkan kepadanya bahawa beberapa orang yang tidak dikenali telah menggunakan fotonya dan mencipta akaun palsu di laman cari jodoh.

Sistla juga berkata dia telah membuat laporan polis mengenai jenayah siber tersebut.

Trishna bagaimanapun terus melakukan gangguan dengan menghantar mesej kepada Sistla sehingga menyebabkan mangsa menyekat nombor telefonnya.

Tambah polis, Trishna tetap meneruskan impiannya untuk berkahwin dengan Sistla dan wanita itu memasang peranti penjejak AirTag pada kereta lelaki tersebut untuk menjejaki keberadaannya.

Trishna kemudian mengupah empat lelaki untuk menculik Sistla pada 11 Februari lalu.

Mereka membawa mangsa ke pejabat Trishna dan memukulnya dengan teruk.

Mangsa hanya dibebaskan selepas berjanji untuk melayan panggilan Trishna dan terus ke balai polis untuk memfailkan aduan.

Polis kemudian menahan Trishna dan empat lelaki yang diupahnya untuk melakukan penculikan itu, kelmarin.

Ketika ini siasatan lanjut mengenai kes itu sedang dijalankan. -Hindustantimes

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain