suria

Arab Saudi benarkan ibadah umrah mulai 1 November, dianggarkan 10,000 jemaah tiba setiap minggu

Arab Saudi membenarkan ibadah umrah mulai 1 November ini.

ARAB Saudi kini membenarkan umat Islam di seluruh dunia berusia antara 18 hingga 50 tahun untuk mengerjakan umrah selepas permit kebenaran untuk jemaah luar dibuka mulai 1 November ini.

Dianggarkan 10,000 jemaah akan tiba di negara itu setiap minggu untuk mengerjakan umrah.

Kementerian Haji dan Umrah berkata antara arahan yang dikeluarkan kepada jemaah adalah mereka perlu menjalani kuarantin selama tiga hari sewaktu ketibaan di negara itu, dalam usaha untuk mencegah jangkitan Covid-19.

Media tempatan yang memetik sumber kementerian itu melaporkan, kesemua syarikat umrah perlu mematuhi peraturan kementerian dan mengawal kehadiran jemaah dari luar negara.

Antara peraturan tersebut, jemaah perlu mempunyai sijil ujian kesihatan PCR yang menunjukkan mereka bebas Covid-19, tidak lebih daripada 72 jam selepas sampel itu diambil dan dikeluarkan oleh makmal bertauliah di negara jemaah.

Selain itu jemaah perlu mendapat kebenaran untuk melakukan umrah selain lawatan ke dua Masjid Suci dan melakukan solat di Rawdah Sharif dengan mendaftar di aplikasi Eatmarna, sebuah aplikasi yang dilancarkan September lalu bagi merencana perjalanan ibadah umrah sewaku pandemik Covid-19.

Setiap jemaah perlu mendapatkan tempahan penerbangan pulang selari dengan program yang diluluskan, termasuklah tempahan bagi tempat penginapan yang komprehensif yang turut membabitkan sekurang-kurangnya tiga kali hidangan sehari sepanjang tempoh tiga hari kuarantin.

Syarikat umrah perlu mengesahkan segala maklumat tepat berdasarkan pasport jemaah termasuklah tarikh lahir yang masuk ke dalam sistem umrah, sekurang-kurangnya 34 jam sebelum hari ketibaan.

Ejen umrah asing yang bekerjasama dengan syarikat di Arab Saudi juga bertanggungjawab untuk melengkapkan data ini malah berdepan dengan tindakan sekiranya terdapat maklumat tidak benar.

Selain itu, maklumat penginapan di Makkah dan Madinah perlu dilengkapkan juga.

Sepanjang ibadah tersebut, jemaah perlu dibahagikan kepada kumpulan dengan minimum seramai 50 jemaah dalam satu kumpulan dan syarikat umrah perlu melantik seorang ketua untuk mengawal setiap kumpulan berkenaan. - Arabnews.com

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain