suria

Rotan, paksa pembantu rumah makan muntah sendiri, pasangan suami isteri dipenjara

Tay Wee Kiat, 41 (kiri) dan Chia Yun Ling, 43, dijatuhi hukuman penjara selepas didapati bersalah melakukan salah guna terhadap pembantu domestik mereka dari Myanmar. -foto Today Online

PASANGAN suami isteri dari singapura berulang kali menyalahgunakan pembantu rumah mereka, dengan merotan, menendang dan memaksanya makan nasi dengan gula menggunakan corong sebelum menyuruhnya makan muntah sendiri.

Pada satu ketika, Moe Moe Than, 32 tahun, dari Myanmar, terpaksa melakukan tugasnya hanya dengan memakai coli dan seluar dalam.

Dia juga diugut bahawa pembunuh akan diupah untuk membunuh anggota keluarganya jika dia membuat laporan.

Pada Isnin lalu, bekas majikanya, pengurus jualan kanan Chia Yun Ling, 43, dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan 11 bulan serta denda S$$4,000 (RM12,019). Dia juga diperintahkan membayar pampasan  S$6,500 (RM19,532) kepada Than.

Hakim Olivia Low juga menjatuhkan hukuman terhadap suaminya, Tay Wee Kiat, 41, yang dulu bekerja sebagai pengurus IT, penjara dua tahun dan diperintahkan membayar ganti rugi sebanyak S$3000 (RM9,014).

Selepas perbicaraan selama 31 hari, hakim mensabitkan pasangan itu pada 4 Mac atas kesalahan penderaan pembantu rumah.

Yun Ling disabitkan dengan tuduhan melakukan lapan serangan dan satu pertuduhan menggunakan kata-kata kasar terhadap pembantu rumahnya.

Hakim juga mendapati ibu kepada tiga anak itu bersalah atas enam kesalahan di bawah Akta Penggajian Tenaga Kerja Asing.

Ini termasuk memaksa pembantu rumah untuk melaksanakan tugasnya dengan cara tidak sesuai dan gagal memberikan makanan yang mencukupi.

Hakim Low memutuskan Wee Kiat bersalah terhadap enam tuduhan serangan.

Pembantu rumah dari Myanmar itu mula bekerja di rumah pasangan itu di Yishun, Singapura pada 8 Januari 2012.

Apabila dia memberitahu Yun Ling bahawa dia tidak cukup makan, majikannya itu menyumbat corong ke dalam mulutnya dan memaksanya makan sehingga dia muntah. Pembantu rumah itu kemudian disuruh makan muntahnya dan dia mengikut arahan itu.

Hakim Low menyatakan bahawa Yun Ling telah mengehadkan penggunaan tandas Than kepada tiga kali sehari.

Yun Ling juga mengarahkan pembantu rumahnya itu membuka seluarnya sebelum merotan punggungnya.

Wee Kiat pula mendera Than dengan merotan dan menendangnya. Dia juga menggunakan batang penyapu dan penyangkut besi untuk memukulnya.

Kesalahan itu diketahui apabila Than pulang ke Yangon pada 12 November 2012 dan memberitahu ejennya di Myanmar tentang penderitaannya.

Kementerian Tenaga Kerja Singapura kemudian dimaklumkan dan mengatur Than kembali ke Singapura kira-kira sebulan kemudian. Dia kemudian memberi keterangan di mahkamah dan memberitahu Hakim Low tentang pengalamannya.

Hakim mensabitkan pasangan itu selepas perbicaraan tetapi beliau juga membebaskan mereka masing-masing dari dua pertuduhan.

Wanita itu terlepas pertuduhan gagal untuk memastikan semua gaji tertunggak dibayar kepada Than sebelum pulang.

Wee Kiat pula bebas pertuduhan mengarahkan pembantu rumah mereka yang lain, Cik Fitriyah, 34, untuk memukul Than.

Pada Isnin, Timbalan Pendakwa Raya Kumaresan Gohulabalan berkata akan membuat rayuan terhadap keputusan itu.

Peguam pertahanan, Wee Pan Lee memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya tidak memutuskan sama ada mahu merayu terhadap keputusan hakim.

Pasangan itu telah dibebaskan dengan ikat jamin masing-masing S$15,000 (RM45,074) dan jika mereka memutuskan untuk tidak membuat rayuan, mereka akan menyerah diri di Mahkamah Negeri pada 27 Mac untuk memulakan proses hukuman.

Sebelum perbicaraan yang melibatkan Than, pasangan itu telah dibawa ke mahkamah kerana menyalahgunakan Cik Fitriyah. -Straits Times

Artikel Lain