Buang payudara selepas sembilan saudara hidap kanser - Dunia | mStar

Buang payudara selepas sembilan saudara hidap kanser

Esther Taylor. -fotoSWNS

SEORANG wanita berusia 24 tahun membuang kedua-dua payudaranya selepas melihat penderitaan ibunya bertarung melawan kanser.

Esther Taylor membuat keputusan sukar untuk menjalani pembedahan mastektomi itu selepas sembilan saudaranya didiagnosis dengan kanser, dengan beberapa orang daripadanya maut.

Dia kemudian diberitahu bahawa dirinya 'berisiko tinggi' untuk mendapat kanser payudara dan ovari.

Pada 2 Mac, dia menjalani prosedur selama sembilan jam untuk membuang kedua-dua payudaranya.

Jururawat pediatrik dari Preston, Lancashire, UK ini berkata: "Ini keputusan yang sukar, menakutkan, menyakitkan, berisiko dan penuh emosi, tetapi keputusan berani ini mengubah kehidupan.

"Ramai yang kata saya terlalu muda 'untuk membuat keputusan seperti itu, tetapi jika kamu tahu kamu hidup dengan risiko tinggi untuk mendapat kanser payudara dan kamu mempunyai pilihan untuk mengurangkan risiko, maka mengapa kamu tidak melakukannya?."

-foto SWNS

Taylor yang kini berusia 25 tahun, turut mendapat sokongan daripada bintang pop Liberty X, Michelle Heaton yang turut menjalani prosedur tersebut.

Dia berkata keputusannya didorong oleh ibunya, Patsy Fenning serta ibu dan bapa saudaranya yang melawan penyakit itu.

"Ibu saya berasal dari keluarga besar, menyedihkan ramai ahli keluarga meninggal kerana kanser dan majoriti ibu dan bapa saudara saya yang masih hidup juga menghidap kanser," katanya.

"Saya tiba-tiba sedar, sudah tiba tahapnya ahli keluarga didiagnosis kanser tidak mengejutkan saya. Saya fikir tak adil jika semua ahli keluarga mati kerana kanser tetapi saya tidak melakukan sesuatu.

"Saya tidak mahu kematian orang-orang yang begitu rapat dengan saya dibiarkan begitu sahaja."

Setelah menjaga dan melihat sendiri penderitaan ibunya ketika berusia lapan tahun, Taylor sentiasa mengingati kematian.

Sebelum dibedah, dia meraikan parti 'Bye Bye Boob' dengan rakan-rakannya daripada Royal Blackburn Hospital di rumah seorang teman.

Dia mengakui tertekan semasa proses penyembuhan dan berasa janggal dengan buah dada kosmetiknya tetapi lama kelamaan berjaya membina keyakinan diri.

"Saya tidak sepenuhnya bebas risiko tetapi setiap hari saya fikir, saya masih hidup kerana mereka," katanya. -MetroUK

kanser payudara , mastektomi

Artikel Sebelum

Ada apa dalam beg tangan Kate?

Lebih Artikel