suria

PBB Seru Suu Kyi Lawat Rakhine

YANGON: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa ketua umum Myanmar, Aung San Suu Kyi untuk melawat wilayah utara negeri Rakhine, di mana tentera dituduh menjalankan tindakan kejam terhadap minoriti Islam Rohingya.

Penerima anugerah Nobel keamanan itu menerima kritikan antarabangsa kerana tidak menghentikan tindakan ketenteraan sehingga memaksa lebih 20,000 etnik Rohingya bergerak ke sempadan Bangladesh.

Malaysia menuduh "pembunuhan beramai-ramai" itu dilakukan pihak tentera namun pegawai Myanmar menafikan sekeras-kerasnya.

Bagaimanapun Suu Kyi, seorang aktivis demokrasi veteran yang mula berkuasa pada Mac lalu menyifatkan keadaan itu sebagai "di bawah kawalan" dan meminta masyarakat antarabangsa berhenti menyalakan "api kebencian".

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di New York pada Khamis, penasihat khas PBB mengenai Myanmar, Vijay Nambiar merayu ikon keamanan itu supaya campur tangan.

"Pendekatan untuk mempertahankan (tindakan) dan bukannya menyediakan jaminan proaktif kepada penduduk tempatan menyebabkan kekecewaan dalaman dan peringkat antarabangsa.

"Saya juga merayu kepada Daw Suu untuk melawat Maungdaw dan Buthidaung serta meyakinkan penduduk tempatan di sana bahawa mereka akan dilindungi," katanya.

Pada Jumaat, diplomat dari Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah mendesak untuk mendapatkan akses kepada rantau ini.

"Berpuluh-puluh ribu orang memerlukan bantuan kemanusiaan, termasuk kanak-kanak kekurangan zat makanan yang teruk yang berlarutan hampir dua bulan," kata diplomat dalam satu kenyataan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain