suria

Bakal Raja Thailand Tentera, Juruterbang Jet Tempur Terlatih

Gambar ihsan AFP.

BANGKOK: Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn telah dididik untuk menaiki takhta sejak hari pertama baginda dimasyhurkan sebagai pengganti raja pada 28 Dis, 1972, ketika berusia 20 tahun.

Lewat malam tadi, Perdana Menteri Gen Prayut Chan-o-chan memberitahu media bahawa Putera Mahkota meminta diberi tempoh secukupnya untuk baginda berkabung atas kemangkatan ayahanda baginda, Raja Bhumibol sebelum mengambil alih takhta.

Prayut mengesahkan bahawa Putera Mahkota akan menggantikan ayahanda baginda sebagai Raja.

Putera raja berusia 64 tahun itu yang merupakan putera tunggal Raja Bhumibol Adulyadej dan Permaisuri Sirikit, diputerakan pada 28 Julai, 1952 di  Ambara Villa, Dusit Palace, Bangkok.

Baginda merupakan anakanda kedua daripada empat beradik hasil perkahwinan pasangan diraja itu.

Bakal Raja Thailand itu menerima pendidikan awal di Chitlada School sebelum dihantar ke United Kingdom dan Australia untuk melanjutkan pelajaran.

Baginda turut menjalani latihan ketenteraan di kolej berprestij Australia, Royal Military College, di Duntroon.

Baginda bertugas sebagai pegawai tentera dengan Royal Thai Army sejak 1975 dan berkhidmat sebagai pegawai staf di bawah Directorate of Army Intelligence sebelum dilantik mengetuai batalion pengawal peribadi Raja pada 1978.

Putera Mahkota juga mengikuti latihan bersama angkatan tentera dari luar negara, antaranya Amerika Syarikat, Britain dan Australia, dalam pasukan khas selain taktik tidak konvensional.

Baginda digambarkan oleh laporan media sebagai seorang yang unik dalam kalangan putera moden, memandangkan baginda terlibat dengan aktif dalam operasi ketenteraan.

Menurut laporan media, baginda pernah mengetuai operasi memerangi  pemberontakan menentang komunis Thailand di utara dan timur laut negara itu, di samping operasi di sepanjang sempadan Kemboja semasa rejim Khmer Rouge.

Baginda juga adalah juruterbang jet pejuang dan komersial terlatih dan merupakan juruterbang pesawat pejuang F-16 Fighting Falcon bagi Royal Thai Air Force.

Selain kerjaya dalam bidang ketenteraan, Putera Mahkota juga terlibat dalam aktiviti sosial dan menubuhkan Crown Prince Hospital, bagi manfaat penduduk Thailand yang tinggal di kawasan pedalaman.

Baginda juga mempunyai minat dalam perkembangan sektor pertanian dan mempunyai klinik pertanian bergerak di bawah naungan baginda.

Projek itu memberi khidmat kepada para petani supaya lebih efisien dari segi hasil ladang, selain memberi nasihat pakar mengenai tumbuhan, ternakan, perikanan dan pembangunan tanah.

Putera Mahkota juga seringkali mewakili ayahanda baginda dalam pelbagai aktiviti sosial lain. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Samseng Curi Lembu Guna Kereta

Artikel Lain