suria

Jaga Sensiviti Rakyat Thailand - Kedutaan

RAKYAT Thailand meratapi kemangkatan Raja Bhumibol Adulyadej di perkarangan Hospital Siriraj di Bangkok pada 13 Oktober 2016. - EPA

BANGKOK: Pelancong asing yang berkunjung ke Thailand dinasihatkan agar menghormati rakyat negara ini susulan kemangkatan Raja Bhumibol Adulyadej.

Raja Bhumipol, pemerintah paling lama di dunia menduduki takhta, meninggal dunia pada usia 88 tahun, Khamis, sekali gus menyebabkan seluruh Thailand diselubungi kesedihan.

Kerajaan junta mengisytiharkan cuti peristiwa pada Jumaat selain tempoh berkabung selama setahun dan meminta semua rakyat Thailand memakai baju hitam selama 30 hari.

Perdana Menteri Prayuth Chan-ocha bagaimanapun memaklumkan, semua perniagaan berjalan seperti biasa termasuk Pasaran Saham Thailand dan urusan bank walaupun cuti peristiwa disytiharkan.

Dalam pada itu, pihak kedutaan asing di Thailand turut memberi peringatan kepada rakyat masing-masing yang berada di negara tersebut agar menjaga sensitiviti sepanjang tempoh berkabung.

Pejabat Luar Britain dalam satu kenyataan menasihati pelancongnya agar menghormati perasaan rakyat Thailand.

"Anda perlu hormat sensitiviti rakyat Thailand pada masa ini.

"Aktiviti hiburan, restoran, pub dan kawasan beli-belah mungkin dihadkan dan anda perlu berkelakuan baik di tempat awam," tambah kenyataan itu.

Sementara itu, Kedutaan Itali di Bangkok meminta rakyatnya yang berkunjung ke Thailand agar menjaga sentimen berita kemangkatan Bhumipol.

Kerajaan Thailand masih belum mengumumkan larangan operasi pusat hiburan tetapi langkah itu dijangka dilaksanakan pada bila-bila masa sahaja.

Undang-undang Thailand yang melindungi kedaulatan keluarga diraja antara peraturan paling ketat di dunia.

Artikel 112 berkaitan kod jenayah menyebut, mana-mana individu yang "memfitnah, menghina atau mengugut raja, permaisuri, waris dan generasi keluarga diraja" akan dihukum penjara sehingga 15 tahun.

Undang-undang terbabit turut terpakai kepada rakyat asing yang melakukan kesalahan itu. - REUTERS 


Thailand

Artikel Sebelum

Samseng Curi Lembu Guna Kereta

Artikel Berikut

Akibat Dendam, Lidah Dipotong

Artikel Lain