suria

Pesta Buku Ketiga Terbesar Di UAE

SHARJAH, Emiriyah Arab Bersatu: Pesta Buku Antarabangsa Sharjah (SIBF) pada tahun ini pesta buku ketiga terbesar di dunia - akan menyaksikan penyertaan 1,420 syarikat penerbitan dari 60 buah negara, yang akan memaparkan lebih 1.5 juta buku sepanjang 11 hari itu.

SIBF dianjurkan oleh Pihak Berkuasa Buku Sharjah, acara sastera yang terpenting di rantau itu yang berlangsung dari 2 hingga 12 November di Sharjah dan diadakan di bawah tema 'Lebih Banyak Membaca', dan meliputi 25,000 kaki persegi di Pusat Ekspo Sharjah. Pengunjung akan menikmati lebih daripada 1,417 aktiviti daripada program itu.

UAE mengambil bahagian pada tahun ini dengan 205 syarikat penerbitan, diikuti oleh Mesir dengan 163, Lubnan dan India masing-masing dengan 110, United Kingdom dengan 79, Syria dengan 66, Amerika Syarikat dengan 63 dan Arab Saudi dengan 61.

SIBF telah mengumumkan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Tetamu Kehormat untuk 2016, dipilih memandangkan tugas mereka di dalam mempromosikan budaya dan warisan di seluruh pelusuk dunia sejak penubuhannya pada tahun 1945.

Seramai 228 tokoh dunia di peringkat antarabangsa dan Arab akan mengambil bahagian di SIBF 2016, termasuk novelis Cassandra Clare, pengarang 'The Mortal Instruments: City of Bones; Eric Van Lustbader dari Amerika Syarikat, pengarang 10 novel 'Bourne'; wartawan dan penulis Claudia Gray, pengarang siri 'Star Wars'; dan Graeme Simsion penulis novel dan penulis skrip dari Australia, Kailash Satyarthi, penerima Hadiah Nobel Keamanan pada tahun 2014; dan pelakon terkenal Shilpa.

Turut serta dari dunia Arab: bintang Mesir Ezzat Al Alaili; Sheikha Maysoon Al Qasimi, penyair, novelis dan artis konseptual; Sheikh Majed Al Sabah, seorang personaliti media sosial yang berpengaruh sebagai tambahan kepada banyak lagi.

SIBF 2016 akan juga menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Perniagaan Program Profesional, satu acara pendahulu yang berlangsung dari 30 Oktober hingga 1 November. Acara tiga hari itu akan mengandungi satu kursus latihan untuk penerbit Arab yang diadakan dengan kerjasama Pusat bagi Penerbitan di Universiti New York, selain panel perbincangan dan mesyuarat perniagaan.

Turut berlangsung dari 8 hingga 10 November adalah edisi ketiga bagi persidangan bersama tahunan di antara SIBF dan Persatuan Perpustakaan Amerika (ALA) satu-satunya persidangan ALA yang diadakan di luar Amerika Syarikat. - BERNAMA

Pesta Buku, UAE

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain