suria

Pemimpin Dunia Beri Penghormatan Kepada Raja Thailand

RAKYAT Thailand membawa potret mendiang Raja Thailand, Bhumibol Adulyadej sambil menyanyikan lagu kebangsaaan di hospital Siriraj pada 14 Oktober 2016. - REUTERS

BANGKOK: Pemimpin seluruh dunia memberi penghormatan terhadap berita kemangkatan Raja Thailand, Bhumibol Adulyadej  ketika pemerhati politik memberi amaran pemergian beliau boleh mencetuskan pergolakan baharu di negara ini.

Setiuasaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon memuji dedikasi yang ditunjukkan oleh Bhumibol terhadap Thailand dan legasi beliau sebagai pemimpin yang menyatukan negara, sekali gus dihormati oleh seluruh dunia.

"Ki-moon berharap Thailand akan terus menghargai legasi Raja Bhumibol terhadap komitmen nilai-nilai sejagat dan menghormati hak asasi manusia," kata jurucakap Setiausaha Agung PBB itu menerusi satu kenyataan.

Presiden Barack Obama juga memuji pemerintahan raja itu sebagai "rakan rapat" dan sekutu kepada Amerika Syarikat (AS).

Beliau menyifatkan Bhumibol sebagai "juara yang tidak mengenal erti penat" bagi membangunkan Thailand selain mengabdikan diri bagi meningkatkan kualiti rakyat.

"Saya masih ingat penghormatan yang diberikan Raja Bhumibol ketika melawat Thailand pada 2012," katanya.

Pemimpin negara jiran, Singapura dan Malaysia turut berkongsi kesedihan terhadapan kemangkatan Raja Bhumibol.

Bhumibol yang memerintah sejak 70 tahun lalu telah berulang kali menyaksikan konflik politik, rampasan kuasa dan keganasan.

Kemangkatan beliau pada usia 88 tahun ketika Thailand masih di bawah pemerintahan tentera boleh mencetuskan ketegangan politik dan kemerosotan ekonomi.

Kerajaan junta menamakan Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn sebagai pengganti, tetapi beliau meminta masa sebelum ditabalkan sebagai Raja. - AFP

Bhumibol, Thailand

Artikel Sebelum

Pesta Buku Ketiga Terbesar Di UAE

Artikel Berikut

Artikel Lain