suria

MH17: Cebisan Manusia Ditemui Di Lokasi Nahas

Pasukan pakar forensik Belanda menjalankan pemeriksaan di lokasi nahas MH17, Rabu.
THE HAGUE:Pakar forensik Belanda menemui cebisan manusia di lokasi pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), MH17 jatuh ditembak di timur Ukraine pada Rabu, bagaimanapun bangkai kapal terbang itu masih belum dapat diselamatkan.


"Pasukan kecil yang meninjau kawasa itu menemui anggota badan di lokasi kejadian selepas mengangkat bangkai pesawat itu dengan kren," kata Menteri Pertahanan Belanda dalam satu kenyataan.

Pakar negara itu sedang menyiasat lebih lanjut kejadian yang mengorbankan 298 penumpang pesawat itu pada 17 Julai lalu.

Pasukan itu berharap dapat menemui serpihan pesawat malang itu secepat mungkin kerana bimbang berlaku pertempuran antara puak yang bertelingkah di kawasan berkenaan.



"Cebisan manusia yang ditemui itu akan dihantar ke Kharkiv untuk menjalani pemeriksaan forensik sebelum dihantar balik ke Belanda," kata menteri itu.

Pegawai pasukan pakar Belanda itu, Pieter-Jaap Aalbersberg berkata, kumpulan kecil yang diketuainya sudah melakukan sebaik mungkin untuk mengesan cebisan dan bahagian badan manusia dan mendapatkan barang peribadi penumpang dan kru pesawat itu.

"Untuk meneruskan usaha itu, peralatan berat diperlukan dan juga pakar forensik," katanya sambil menambah situasi di sekitar lokasi kejadian masih dalam keadaan tidak stabil.



Kiev dan pihak barat mendakwa pesawat Boeing 777 itu ditembak jatuh di kawasan konflik oleh puak pemisah menggunakan peluru berpandu yang dibekalkan Rusia, bagaimanapun Moscow menafikan perkara itu dan menuding jari kepada Kiev.

Setakat ini, 289 mangsa sudah dikenal pasti hasil penemuan bahagian badan di lokasi kejadian, bagaimanapun bangkai pesawat itu masih belum dialihkan atas faktor keselamatan.

Baru-baru ini Menteri Luar Belanda, Bert Koenders menyatakan besar kemungkinan baki mangsa pesawat itu tidak dapat ditemui.

Wakil Pertubuhan Kerjasama dan Keselamatan Eropah (OSCE) yang berunding dengan puak pemisah bagi pihak kerajaan Belanda berkata, rundingan masih berlangsung antara kedua-dua pihak.

"Kerja-kerja pengalihan bangkai pesawat tidak dapat dilakukan sehingga persetujuan dicapai," katanya.


Artikel Sebelum

Artikel Lain