suria

Kerajaan Singapura Pimpinan PAP Mahu Tingkatkan Taraf Hidup Rakyat - Lee

SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, berkata parti memerintah, Parti Tindakan Rakyat (PAP), yang mendapat mandat baru memimpin negara itu untuk tempoh lima tahun akan datang, sudah mempunyai rangka kerja untuk meningkatkan taraf hidup rakyatnya.

Bercakap pada ulang tahun ke-30 Persidangan Perbadanan Pelaburan Singapura (GIC) di sini pada Isnin, Lee berkata keutamaan Singapura adalah untuk memperbaiki taraf kehidupan warganya.

Bagi mencapai matlamat itu, pertama kali, negara perlu memastikan pertumbuhan ekonomi yang sihat selaras dengan perkembangan ekonomi dunia, kata Lee yang dipetik oleh saluran televisyen tempatan, Channel NewsAsia.

PAP, yang dipimpin oleh Lee memenangi majoriti 81 daripada 87 kerusi parlimen termasuk lima kerusi Perwakilan Kumpulan Kawasan Pilihan Raya (GRC) tanpa bertanding pada pilihan raya umum ke-14, Sabtu lalu.

Selain pertumbuhan ekonomi, Lee berkata kerajaan akan menarik pelaburan dan modal insan berbakat ke Singapura dan juga menggalakkan perusahaan tempatan untuk mempelbagaikan kegiatan, berkembang dan memasuki pasaran antarabangsa.

Katanya negara itu juga akan mentransformasi dan mempertingkatkan pertumbuhan ekonomi dengan tidak hanya menambah bilangan tenaga kerja.

Justeru itu, perdana menteri itu berkata matlamat kerajaan adalah untuk meningkatkan pendapatan rakyat secara keseluruhan dan ini termasuk isu rumah golongan berpendapatan pertengahan dan rendah.

Ke arah mencapai matlamat itu, katanya, tenaga kerja perlu meningkatkan produktiviti yang merupakan tugas mencabar pada 10 tahun akan datang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain