suria

Parti Politik Singapura Perhebat Kempen Sebelum Tempoh Bertenang Jumaat

SINGAPURA: Parti politik sama ada parti pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP) atau pembangkang sedang memperhebatkan kempen dalam usaha menawan hati dan fikiran pengundi Singapura.

Menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, 6 Mei (Jumaat) ditetapkan sebagai tempoh bertenang, sehari sebelum pengundian dijalankan iaitu pada 7 Mei.

Di bawah undang-undang, semua parti politik tidak boleh meneruskan kempen dalam tempoh bertenang.

Sehubungan itu, untuk tempoh dua hari lagi, setiap calon termasuk daripada PAP diketuai Perdana Menteri Lee Hsien Loong, Parti Pekerja Singapura (WP), Parti Rakyat Singapura (SPP), Parti Solidariti Nasional (NSP), Perikatan Demokratik Singapura (SDA) dan Parti Pembaharuan (RP) semuanya bekerja keras untuk menangkis pandangan parti-parti lain.

PRU kali ini dijangka lebih menarik kerana buat pertama kalinya dalam sejarah, PAP akan berdepan cabaran paling getir daripada pembangkang. Menurut Jabatan Pilihan Raya Umum, satu bahagian pilihan raya tidak ditandingi apabila penamaan calon untuk 27 kawasan pilihan raya ditutup pada 27 April lepas, di mana Menteri Mentor Lee Kuan Yew dipilih semula sebagai anggota Parlimen apabila menang tanpa bertanding.

PRU kali ini akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu di kawasan undi perwakilan kumpulan (GRC) atau kawasan Parlimen kecuali GRC Tanjong Pagar yang menyaksikan PAP menang tanpa bertanding.

Apa yang menarik, parti pembangkang Singapura turut mengemukakan calon yang berkarisma untuk PRU kali ini, yang mana calon mereka setanding dan memiliki kelayakan yang sama seperti calon yang dikemukakan PAP.

Lee yang dilantik sebagai Perdana Menteri pada 2004, akan sekali lagi menerajui PAP buat kali kedua, yang pertama pada 2006.

Beliau berkata pembangkang yang kuat akan menyuarakan sesuatu isu dengan lebih jelas dan dijadikan taruhan pada pilihan raya itu.

Sehubungan itu, katanya ia adalah baik bagi PAP berdepan dengan cabaran itu, katanya. Pada 2006, PAP, parti pemerintah sejak 1959, memenangi 66.6 peratus undian dan 82 daripada 84 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

Menurut pemerhati politik, kemenangan itu adalah berdasarkan kejayaan besar republik itu dalam bidang ekonominya.

Mereka berkata negara kota itu merupakan antara negara paling makmur di dunia di sebalik kekurangan sumber semulajadinya.

Di bawah pentadbiran sekarang, Singapura memiliki kemajuan tinggi dan ekonomi pasaran bebas yang berjaya.

Negara itu sebuah negara terbuka dan bebas daripada gejala rasuah, harga yang stabil dan mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita US$57,200, pencapaian yang tinggi berbanding kebanyakan negara maju.

Bagi komuniti korporat, berdasarkan perspektif pasaran saham, menurut Nomura Equity Research, "pasaran itu menjangkakan parti pemerintah PAP akan mengekalkan penguasaannya di Parlimen."

Menurut seorang pemerhati, Presiden Persatuan Pelabur-Pelabur Malaysia Datuk Dr P.H.S. Lim berkata Singapura telah berjaya menarik pelabur utama dalam bidang farmaseutikal, pengeluaran teknologi perubatan dan akan meneruskan usaha untuk menjadi pusat kewangan Asia Tenggara dan hab teknologi tinggi. "Sebagai warganegara Malaysia dan pelabur, saya berharap negara jiran kita akan menikmati keamanan dan kemakmuran kerana ekonomi Singapura dan struktur sosialnya saling berkait dengan Malaysia. "Kini terpulanglah kepada pengundi untuk berfikir sedalam-dalamnya siapa yang menjadi pilihan mereka," katanya. Lim bersetuju dengan saranan Perdana Menteri Lee kepada pengundi muda, "untuk berfikir apakah yang boleh ditawarkan oleh setiap parti, parti manakah yang boleh memberi perkhidmatan terbaik dan rancangan manakah yang akan memastikan masa depan yang lebih terjamin." - BERNAMA

Artikel Lain