suria

AS Tutup Kedutaan Di Pakistan

ISLAMABAD: Amerika Syarikat (AS) menutup kedutaan dan tiga pejabat konsulnya di Pakistan kepada orang awam berkuatkuasa Isnin - sehari selepas Osama bin Laden dibunuh.

"Kedutaan di Islamabad dan konsulat Amerika Syarikat di Peshawar, Lahore dan Karachi ditutup untuk sebarang urusan awam sehingga notis lebih lanjut dikeluarkan," jelas kenyataan dari kedutaan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, kedutaan dan pejabat konsul berkenaan walaubagaimanapun akan dibuka untuk urusan lain dan perkhidmatan kecemasan warga AS.

Kenyataan itu dibuat ekoran kebimbangan akan serangan balas selepas pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden dilaporkan terbunuh di dalam satu operasi ketenteraan yang dilancarkan oleh pasukan elit khas AS berhampiran ibu negeri Pakistan itu malam semalam.

Jabatan Luar Negeri AS telah mengeluarkan amaran perjalanan antarabangsa kepada semua warganya dan menyatakan kemungkinan berlakunya keganasan anti-Amerika berikutan kematian Osama bin Laden.

Menurut kedutaan itu, amaran ini berkuatkuasa sehingga 1 Ogos.

Puak utama Taliban berjanji akan membalas dendam ke atas kematian Osama bin Laden dan akan menyerang kepentingan kerajaan AS dan Pakistan juga pasukan keselamatan mereka.

Pakistan telah meningkatkan tahap keselamatan di seluruh bandar utama, kawasan diplomatik dan di sekitar kawasan Osama dibunuh di Abbottabad.

Lebih banyak pasukan keselamatan dikerahkan ke Islamabad untuk mengawal keselamatan bangunan kerajaan dan kawasan kedutaan sementara lebih banyak sekatan jalan raya diadakan di bandar besar seperti Lahore dan Karachi.

Beratus orang telah dilaporkan berkumpul di jalan-jalan raya di bandar Quetta yang berhampiran dengan Afganistan mengutuk dan membakar bendera AS untuk memberi penghormatan terakhir kepada pemimpin Al-Qaeda itu.

"Kematian beliau tidak akan mengakhiri perjuangan ini, ia akan diteruskan dan beribu lagi Osama bin Laden akan dilahirkan," kata ahli parlimen persekutuan Maulawi Asmatullah yang mengetuai bantahan tersebut.

Artikel Lain