suria

Bunuh Osama: Pakistan Nafi Bersekongkol

WASHINGTON/ABBOTTABAD: Presiden Pakistan, Asif Ali Zardari membuat pengakuan pada Selasa bahawa pasukan keselamatan negara itu tidak bersekongkol dengan operasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS) untuk membunuh pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden.

Penemuan tapak persembunyian dan mayat Osama di Abbottabad menjejaskan hubungan antara AS dengan Pakistan.

"Beliau sudah tiada lagi. Walaupun kami tidak terlibat dengan operasi pada Isnin, kerjasama dan hubungan erat antara AS dan Pakistan berjaya menamatkan pemburuan penjenayah paling dikehendaki dunia itu," kata Asif dalam satu kenyataan yang dipetik Washington Post.

Ia adalah kenyataan pertama yang dikeluarkan Asif berhubung serangan menggunakan helikopter di sebuah rumah agam di bahagian utara ibu negara Pakistan yang diketuai AS pada Isnin.

Kebijaksanaan Osama menyembunyikan diri berhampiran akademi latihan ketenteraan di Pakistan tanpa dihidu sesiapapun mencetuskan tanda tanya di kalangan penggubal undang-undang AS.

Menurut mereka, sudah tiba masanya untuk mengkaji semula bantuan berskala besar yang disalurkan AS kepada Pakistan.

"Kerajaan kami amat bimbang terhadap dasar fiskal. Menghulurkan bantuan kepada negara yang tidak memberikan pertolongan sepenuhnya adalah permasalahan utama," kata pengerusi Jawatankuasa Risikan Senat, Dianne Feinstein.

Rumah Putih menyedari timbulnya sebab munasabah untuk penggubal undang-undang AS yang meragui kerjasama pasukan keselamatan Pakistan menentang Al Qaeda menuntut untuk mengetahui sama ada Osama dilindungi dan membangkitkan persoalan mengenai bantuan ke Islamabad.

Sejak bertahun lamanya, Pakistan berkata mereka tidak mengetahui tapak persembunyian Osama dan memberi jaminan kepada tentera AS untuk bertindak jika ada bukti yang diperoleh menerusi ejen risikan negara itu.

Mayat perancang utama kejadian serangan terhadap Pusat Dagangan Dunia AS pada 11 September 2001 itu dikebumikan di laut selepas beliau mengalami kecederaan parah selepas ditembak di kepala dan dada akibat serangan yang dilancarkan empat helikopter di Bilal, Abbottabad.

Osama, 54, dikebumikan di laut selepas upacara pengebumian secara Islam dijalankan di dalam kapal terbang pengangkut milik AS, Carl Vinson.

Menurut pegawai tentera AS, mayat Osama yang dikapankan dimasukkan ke dalam sebuah beg dan disemadikan di utara Laut Arab.

Artikel Lain