Ahli perniagaan bernama Hou dilaporkan menyerahkan seluruh kekayaannya kepada isteri baharunya, Liyuan.
KES pertikaian harta pusaka bernilai ratusan juta ringgit melibatkan seorang ahli perniagaan berusia 61 tahun mengundang perhatian ramai apabila dia menyerahkan seluruh kekayaannya kepada isteri baharunya.Lelaki dikenali sebagai Hou dari Sanya, China, dilaporkan memindahkan aset bernilai kira-kira RMB300 juta (RM175.6 juta) kepada isterinya, Liyuan, yang berusia 28 tahun lebih muda, sekali gus mencetuskan kemarahan dua anaknya hasil perkahwinan terdahulu. Tidak berpuas hati, kedua-dua anak Ho memfailkan saman bagi mencabar keputusan tersebut, dengan alasan ia tidak adil dan menimbulkan persoalan sama ada bapa mereka berada dalam keadaan waras ketika menandatangani dokumen pemindahan harta.Selepas bercerai daripada perkahwinan terdahulu, Hou berkahwin dengan Liyuan pada 2016 dan pasangan itu mempunyai seorang anak lelaki berusia enam tahun.Pada 2025, Hou disahkan menghidap kanser tahap akhir dan menjalani beberapa siri rawatan kemoterapi.Sepanjang tempoh itu, Liyuan dilaporkan setia menjaga suaminya sepenuh masa termasuk mengurus keperluan harian dan menemaninya ke hospital.Tindakan tersebut dipercayai mendorong Hou untuk menyerahkan semua hartanya kepada Liyuan pada Mac 2026 sebagai tanda penghargaan, selain mahu menjamin masa depan isterinya itu dan anak kecil mereka.Antara aset terlibat termasuk tiga vila tepi pantai di lokasi utama Sanya, dua lot kedai, pegangan penuh sebuah hotel peranginan, 27 peratus saham syarikat kapal layar serta simpanan bank bernilai puluhan juta yuan.Bagaimanapun, keputusan itu mencetuskan konflik keluarga apabila anak-anak Hou bertindak bersemuka dengan Liyuan dan turut mengkritiknya di media sosial.Mereka mendakwa kemungkinan berlaku paksaan atau manipulasi dalam keputusan tersebut.Dalam reaksi balas, Liyuan menegaskan dia tidak pernah meminta sebarang harta dan hanya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri dengan ikhlas.Di laman sosial, perdebatan hangat tercetus dalam kalangan netizen di China.Ramai yang mempertahankan Liyuan kerana kesetiaannya, malah berpendapat anak-anak Hou tidak sepatutnya mempersoalkan keputusan itu lebih-lebih lagi jika tidak memainkan peranan dalam menjaga bapa mereka. -Agensi