suria

Anjing kesayangan mati diracun jiran, wanita berhenti kerja fokus tuntut keadilan... Puas hati pelaku dipenjara 4 tahun

Gambar kenangan Li Yihan bersama anjing kesayangannya, Papi. -Foto News.qq.com

SEORANG wanita nekad meninggalkan kerjaya dan kehidupan peribadinya demi menuntut keadilan selepas anjing peliharaannya mati diracun oleh jiran.

Kisah menyentuh hati itu bermula pada 2022 apabila anjing kesayangan wanita dikenali sebagai Li Yihan, iaitu Papi, mati selepas termakan umpan beracun yang diletakkan di taman permainan berhampiran kediamannya di Beijing, China.

Siasatan polis mendapati seorang lelaki berusia 65 tahun dikenali sebagai Zhang bertanggungjawab meletakkan kepingan ayam yang dicampur bahan toksik natrium fluoroasetat, sejenis racun berbahaya tanpa bau.

Dalam kejadian sama, 11 ekor anjing dilaporkan diracun dan sembilan daripadanya mati.

Tidak berdiam diri, Li Yihan mengorbankan kerjayanya demi memberi fokus bagi memperjuangkan keadilan bukan sahaja untuk Papi tetapi juga haiwan lain yang menjadi mangsa penganiayaan.

Usahanya menjadi lebih mencabar apabila China tidak mempunyai undang-undang perlindungan haiwan yang menyeluruh, sekali gus memaksa Li Yihan mengkaji sendiri Kanun Sivil dan Undang-undang Jenayah bagi membina kes.

Dia kemudian memfailkan tindakan undang-undang secara persendirian terhadap Zhang dan turut mewakili 10 pemilik haiwan lain di mahkamah.

Usahanya membuahkan hasil apabila mahkamah menjatuhi hukuman penjara empat tahun terhadap Zhang pada Disember 2025 atas kesalahan meletakkan bahan berbahaya, iatu satu keputusan yang dianggap jarang berlaku.

Li Yihan yang sebelum ini memilih untuk menyembunyikan identitinya demi keselamatan, kini tampil berani mendedahkan wajah sebagai simbol kebebasan dan keberanian.

"Setiap langkah ke hadapan, walaupun kecil, adalah untuk masa depan yang lebih baik," ujarnya. -Agensi

Artikel Lain