suria

Keadaan terburuk sudah berakhir - PM Thailand

BANGKOK: Selepas kejatuhan tahunan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 7.1 peratus dalam tempoh suku pertama, Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva berkata situasi terburuk ekonomi negara itu sudahpun berakhir.

Beliau berkata meskipun KDNK masih dijangka menguncup pada suku kedua dan ketiga, ia dijangka mencatat angka positif pada suku terakhir tahun ini.

Bagaimanapun ekonomi masih menguncup antara tiga dan lima peratus bagi keseluruhan tahun, dan menambah Thailand kini diambang pemulihan, dengan pertumbuhan antara 1.0 dan 2.0 peratus pada 2010.

"Sudah ada petunjuk mengenai pemulihan. Yang terburuk sudah berlalu. Bilangan mereka yang diberhentikan susut sejak April," katanya kepada kira-kira 1,000 peserta Forum Pelaburan Thailand Euromoney di sini hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Kewangan Korn Chatikavanij dan Ketua Pegawai eksekutif Kumpulan CIMB Datuk Seri Nazir Razak.

Abhisit yang mengambil alih tampok pemerintahan Disember lepas, berkata eksport barangan elektronik dan kimia sudah meningkat manakala bursa saham yang susut 47 peratus pada 2008, sudah memulihkan kedudukannya.

Beliau berkata Thailand mengalami impak besar pada tahun lepas, dengan kejatuhan eksport bulanan sebanyak 20 peratus sepanjang empat hingga lima bulan lepas selain penurunan 20 peratus dalam jumlah ketibaan pelancong.

"Ia merupakan keadaan yang sukar untuk rakyat negara itu yang menikmati pertumbuhan dua angka selama beberapa tahun. Namun kita tidak bersendirian, kerana Jepun, Singapura dan Hong Kong juga mengalami keadaan yang sukar berbanding kita pada suku pertama manakala Malaysia mencatatkan penguncupan 6.2," kata Abhisit yang melawat Malaysia pada Isnin.

Abhisit berkata Kerajaan Demokrat yang juga memimpin negara itu semasa krisis kewangan Asia pada 1997, bertindak pantas dalam menangani kelembapan, termasuk melaksanakan pakej-pakej rangsangan yang membantu mereka yang paling teruk terjejas.

Beliau berkata 70 hingga 80 peratus daripada pakej rangsangan itu sudah diagihkan manakala pakej rangsangan kedua yang melibatkan 400 bilion baht dijangka dikeluarkan pada Ogos, dengan sasaran mewujudkan dua juta pekerjaan dalam tempoh tiga tahun. BERNAMA

Artikel Lain