suria

India tidak puas hati pendirian OIC mengenai Kashmir

NEW DELHI: India melahirkan perasaan tidak puas hatinya terhadap Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) berhubung pendirian terbaru pertubuhan itu berkaitan isu Kashmir dan tindakannya meremehkan serangan pengganas di Mumbai.

Pada Mesyuarat Majlis Menteri-menteri Luar Ke-36nya di Syria minggu lepas, pertubuhan 57 anggota itu meluluskan resolusi menyokong perjuangan rakyat Kashmir dan menyifatkan serangan pengganas di Mumbai hanya sebagai suatu "insiden".

"Kami kesal kerana OIC turut mengeluarkan komen tentang hal ehwal dalaman India semasa Mesyuarat Ke-36 Majlis Menteri-menteri Luarnya di Syria.

"OIC tidak mempunyai locus standi dalam hal ehwal dalaman India," kata Kementerian Luar India dalam kenyataannya.

Pada mesyuarat itu, Setiausaha Agung OIC Ekmeleddin Ihsanoglu telah mengulangi komitmen dan sokongan pertubuhan berkenaan terhadap perjuangan membebaskan Kashmir dan menggesa agar dialog Indo-Pakistan disambung semula bagi mencari penyelesaian secara aman terhadap masalah Kashmir.

India dan jirannya, Pakistan, berperang dua kali (pada 1947 dan 1965) bagi merebut wilayah Kashmir dan sejak berlakunya kejadian serangan di Mumbai tahun lepas, hubungan antara keduadua negara menjadi tegang.

"Kami juga terkejut kerana dalam resolusi yang diguna pakai itu, serangan pengganas terhadap Mumbai pada November 2008 hanya dianggap sebagai satu "insiden" semata-mata.

"Amat malang sekali apabila ancaman keganasan yang menghantui masyarakat antarabangsa, di mana serangan terhadap Mumbai oleh anasir yang mempunyai kaitan dengan Pakistan menjadi bukti jelas mengenainya, tidak ditangani secara bersungguhsungguh oleh OIC. Kami menolak dengan sekeras-kerasnya resolusi itu," kata kenyataan tersebut.

Dalam satu serangan di Mumbai November lepas, pengganas membunuh lebih 170 orang dan mencederakan 300 yang lain, ketika kebanyakan mereka berada di hotel mewah dan di tempat awam. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain