suria

China lapor kes pertama Influenza A (H1N1)

BEIJING: China melaporkan kes pertama jangkitan Influenza A(H1N1) dalam negara itu di Wilayah Selatan Guangdong, menurut Kementerian Kesihatannya hari ini.

Wanita berumur 24 tahun dari Guangzhou, Guangdong itu dikatakan pernah menemui seorang pesakit selesema pada 25 Mei lepas, dan pesakit lelakit itu diklasifikasikan sebagai kes suspek oleh pihak kementerian.

Pesakit lelaki itu mengalami sakit tekak pada 24 Mei selepas kembali dari New York, melalui bandar raya Incheon, Korea Selatan, dan beliau dimasukkan ke hospital pada hari Rabu (27 Mei).

Wanita itu pula dipercayai dijangkiti semasa lelaki berkenaan bersama teman wanitanya melawat studio foto di mana wanita berkenaan bekerja, Isnin lepas, dimana mereka turut menaiki kereta yang sama semasa mengambil gambar di luar studio.

Wanita itu mengalami sakit tekak, pening kepala serta demam pada hari Rabu lepas, dan dihantar ke Hospital pada hari berikutnya, sebelum diuji positif virus Influenza A(H1N1) oleh pusat kawalan penyakit.

Keputusan ujiannya kini masih lagi diteliti oleh Pusat Kawalan Penyakit China, bagaimanapun kementerian Kesihatan China mengesahkan keadaan kesihatan kedua-dua pesakit kini stabil.

Menteri Kesihatan China Chen Zhu mengadakan mesyuarat kecemasan semalam dan sudah menghantar kumpulan pakar ke Guangdong.

Kementerian Kesihatan dijangka akan membuat persidanganvideo nasional bagi membincangkan usaha mengawal Influenza A(H1N1) dan langkah membanteras penyakit tersebut, tengah hari ini.

Kementerian itu juga mengarahkan pihak berkuasa kesihatan Guangdong untuk meningkatkan penjagaan klinikal dan menjejaki mereka yang pernah berhubung dengan pesakit itu sebagai langkah berjaga-jaga.

Sementara itu dalam satu lagi ujian yang dijalankan oleh Pusat Kawalan Penyakit Wilayah Guangdong terhadap seorang lelaki Amerika berumur 22 tahun dan adik perempuannya berumur 21 tahun yang kini berada di Shenzhen menunjukkan bahawa keduadua mereka positif virus Influenza A(H1N1).

Kedua-dua mereka menaiki penerbangan CI0011 dari New York ke Taipei pada 17 Mei, dan menaiki penerbangan CI0601 dari Taipei ke Hong Kong dua hari kemudian, dan berlepas ke Dongguan City di Guangdong, kemudian ke Shenzhen dan Hong Kong dengan menaiki kereta.

Mereka didapati demam semasa melintasi sempadan di Shenzhen dari Hong Kong, dan dihantar ke hospital untuk rawatan.

Sebelas orang yang pernah berhubung dengan keduadua pesakit itu kini berada di bawah pemerhatian perubatan, menurut kementerian itu. BERNAMA

Artikel Lain