suria

250,000 penduduk Tamil kini melarat akibat perjuangan LLTE

VAVUNIYA: Perang saudara yang dicetuskan oleh kumpulan pemisah di utara Sri Lanka sejak tiga dekad lalu mengakibatkan kemusnahan besar kepada penduduk minoriti Tamil, dengan ribuan kalangan mereka berhadapan dengan masa depan yang gelap selepas terpaksa meninggalkan rumah masing-masing.

Dianggarkan 250,000 orang penduduk di kawasan itu kini terjerumus ke lembah kemiskinan disebabkan oleh perang, dan mereka bukan sahaja kehilangan tempat tinggal, malah ada yang tinggal sehelai sepinggang akibat musibah itu.

Pegawai-pegawai kerajaan menganggarkan lebih 305 kanak-kanak menjadi yatim piatu disebabkan oleh perjuangan berdarah itu, dan pada masa yang sama 3,000 wanita muda dijangka melahirkan anak mereka di kemkem pelarian yang disediakan.

"Kemkem pelarian ini sesak dengan kebanjiran penghuni sejak beberapa hari lalu. Kami sedang melakukan segala yang termampu bagi menyediakan tempat perlindungan buat mereka, dan menyediakan mereka untuk dipindahkan sebelum tahun depan. Tapi ada masalah-masalah seperti kawasan periuk api, yang kami perlu 'bersihkan' kawasannya terlebih dahulu," kata setiausaha daerah Vavuniya, P.C. M Charles.

Kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), kumpulan pemberontak bersenjata yang diketuai oleh Velupillai Prabhakaran, mengangkat senjata dalam usaha mewujudkan sebuah negara baru buat kumpulan Tamil yang dipinggirkan di utara negara pulau itu, namun perjuangan itu menemui penghujungnya pada hari Selasa lepas, ditamatkan dengan kematian Prabhakaran.

Dengan diiringi tentera Sri Lanka, sekumpulan wartawan dibawa melawat sebuah kem pelarian (IDP) seluas lebih 1,400 ekar di daerah Vavuniya yang terletak kira-kira 230 km dari ibukota Colombo, di mana kebanyakan mangsa perang kini ditempatkan.

Penghuni kem ini adalah dari kalangan mereka yang bernasib baik mengambil peluang memberanikan diri mengharungi kawasan hutan penuh ranjau yang dipenuhi dengan periuk api dipasang oleh LTTE bagi menghalang kemaraan tentera.

ereka nekad merenangi tasik dan sungai, membelah hutan tebal tanpa bekalan makanan serta minuman yang cukup di kawasan Mullaithivu, yang menjadi pengkalan LTTE yang ditawan minggu lepas.

"Kami tidak peduli sekiranya dia (Prabhakaran) hidup atau mati, saya tidak mahu mengingati lagi peperangan itu. Bapa saya terbunuh oleh ledakan bom, saya nampak sendiri anggota badan manusia berkecai akibat letupan.

"Kami hilang segalanya dalam peperangan ini, sekarang tiada siapa yang menjaga kami lagi. Saya ada dua kakak dan seorang ibu yang perlu perhatian," kata

Thanamlectchumy, 20, yang tinggal di kem itu, dan kini beliau hanya memiliki beberapa helai pakaian disimpan dalam beg plastik.

Beliau adalah salah seorang daripada mangsa kekejaman musibah perang itu yang nekad melarikan diri dari cengkaman LTTE, melarikan diri bersama dengan anggota keluarganya keluar dari medan peperangan, dan sampai dengan selamat ke kem IDP yang dibina oleh kerajaan dan Pertubuhan Bangsabangsa Bersatu (PBB).

Ratusan anggota angkatan bersenjata kerajaan dikerah berkawal di kem itu bagi menghalang kemasukan saki baki kumpulan LTTE ke kawasan berkenaan, dan sehingga ini tiada insiden yang tidak diingini dilaporkan berlaku.

Kira-kira 6,000 anggota LTTE menyerah diri kepada pihak berkuasa dan sedang menjalani program pemulihan yang dianjurkan kerajaan.

Ketika ini semasa negaranegara barat berdebat mengenai pelanggaran hak asasi manusia di negara pulau itu di samping meningkatkan tekanan kepada PBB untuk mendakwa Sri Lanka bagi kesalahan jenayah perang, kerajaan Presiden Mahinda Rajapaksa sedang bergelut mencari jawapan terhadap persoalanan bagaimana cara untuk menyediakan bekalan makanan kepada pelarian ini, dan di mana mereka akan dipindahkan.

Rajapaksa, yang berjaya membanteras keganasan di tanah airnya, kini perlu menatang keamanan yang baru sahaja diperolehinya itu, agar tidak menjejaskan suasana di Colombo, semasa negara itu sedang meraikan kemenangan; dan pada masa yang sama menunaikan janjijanjinya kepada kumpulan minoriti Tamil di utara negara itu yang susah lama menderita. BERNAMA

Artikel Lain