suria

Indonesia: Kempen pilihan raya Presiden bermula 2 Jun

JAKARTA: Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia (KPU) hari ini menetapkan 2 Jun ini sebagai tarikh bermulanya kempen bagi pilihan raya Presiden yang bakal berlangsung 8 Julai depan, agensi Antara melaporkan.

"Kempen akan bermula 2 Jun 2009 dan akan berakhir 4 Julai atau dua hari sebelum pengundian," kata ahli KPU, Andi Nurpati di sini.

Hari pertama berkempen akan bermula dengan gabungan kempen tiga pasangan calon presiden dan naib presiden iaitu Jusuf Kalla dan Wiranto, Megawati Soekarnoputri dan Prabowo Subianto serta Soesilo Bambang Yudhoyono dan Boediono.

Bermula 2 hingga 12 Jun, calon-calon hanya dibenarkan untuk mengadakan kempen di dalam bangunan, sementara perhimpunan dijadualkan bermula 13 Jun hingga 4 Julai.

"Terpulang kepada mereka untuk menentukan bentuk kempen (dari 2 hingga 13 Jun) selagi ia tidak bertentangan dengan Peraturan Nombor 42, 2008 mengenai kempen presiden," katanya pada sidang media di Pusat Media KPU. BERNAMA

Artikel Lain