suria

Pakistan masih selamat untuk pelancong dan ahli perniagaan - Pesuruhjaya Tinggi

KUALA LUMPUR: Pakistan yang sedang bertempur dengan puak Taliban di barat laut negara itu, masih selamat untuk dikunjungi pelancong dan mereka yang ingin melakukan urusan perniagaan, kata Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia, Lt Jen (B) Tahir M. Qazi.

Beliau berkata hanya sebahagian kecil kawasan barat laut yang terbabit sedangkan daerahdaerah lain termasuk ibu negara Islamabad masih selamat untuk dilawati.

"Ia masih selamat untuk berkunjung ke Pakistan," katanya kepada pemberita di sini hari ini, apabila ditanya mengenai keadaan semasa di negaranya ekoran pihak kerajaan kini melancarkan serangan ke atas puak Taliban.

Ancaman terhadap keselamatan Pakistan dilaporkan semakin tinggi apabila pada 26 April lalu, Kementerian Dalam Negeri Pakistan mendedahkan terdapat 300 pengebom berani mati sedang merancang serangan ke atas bandar dan rakyat Pakistan.

Tahir turut merayu bantuan kewangan untuk membantu penduduk yang hilang tempat tinggal ekoran serangan di daerah Dir, Buner dan Swat sejak April lalu.

Beliau berkata bantuan diperlukan untuk menyediakan makanan, khemah, pakaian, perubatan dan lainlain keperluan terutama untuk golongan wanita dan kanak-kanak.

Bantuan boleh dihulurkan menerusi Affin Bank melalui nombor akaun 2000 2062 4790, katanya. BERNAMA

Artikel Lain