suria

Tragedi Tak Bai: Pegawai keselamatan Thai tidak bersalah

SONGKHLA: Hampir lima tahun selepas insiden Tak Bai yang mengakibatkan kematian 85 penunjuk perasaan beragama Islam dan dilihat sebagai satu daripada pencetus konflik di Selatan Thai, sebuah mahkamah Thai hari ini memutuskan bahawa tiada sebarang salah laku di pihak pegawai keselamatan.

Panel dua anggota dalam inkues postmortem membuat kesimpulan bahawa pegawai tentera dan polis bertindak mengikut undang-undang, menggunakan pertimbangan mereka untuk menangani keadaan yang mendesak dan melakukan yang terbaik berdasarkan situasi ketika itu.

Hakim Yingyut TanorRachin, yang bersidang bersama Hakim Jutarath Santisevee, berkata para pegawai hanya menjalankan tugas mereka dan mempunyai alasan kukuh bagi mengangkut lebih 1,000 penunjuk perasaan yang ditahan dari Tak Bai di sempadan Thai-Malaysia ke Kem Tentera Ingkayuthaborihaan di Pattani pada 25 Oktober 2004.

Insiden itu berlaku ketika lebih 1,500 orang menyertai tunjuk perasaan di hadapan Balai Polis Tak Bai bagi mendesak pembebasan enam sukarelawan pertahanan kampung yang ditahan kerana disyaki membuat laporan palsu kepada polis membabitkan rompakan senapang patah yang dikeluarkan oleh kerajaan.

Polis menggunakan semburan air dan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan manakala peluru hidup ditembak ke udara dan ke arah orang ramai bagi menyuraikan tunjuk perasan itu yang mengakibatkan tujuh orang terbunuh.

Kira-kira 1,292 orang ditahan oleh pihak berkuasa.

Menurut Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRC), mereka yang ditahan itu dipukul dengan belantan, ditendang dan ditumbuk, ada di antaranya diperlakukan begitu semasa terbaring di atas tanah dengan tangan diikat ke belakang.

Tahanan itu kemudiannya dimuatkan ke dalam trak serta diletak bertindih-tindih sebelum dipindahkan ke Kem Ingkayuthaborihaan, dalam perjalanan yang mengambil masa beberapa jam.

Sejumlah 78 orang ditemui mati dalam trak itu dalam kejadian yang berlaku dalam bulan Ramadan.

Lebih 3,500 orang meninggal dunia sejak puak pemisah bersenjata meneruskan kempen mereka pada Januari, 2004 untuk mendapatkan kemerdekaan bagi tiga wilayah yang majoriti penduduknya beragama Islam iaitu Yala, Pattani dan Narathiwat.

Banyak pertubuhan tempatan dan badan hak asasi manusia menyalahkan peningkatan keganasan dalam insiden Tak Bai selain insiden yang berlaku pada April 2004, apabila 32 kumpulan disyaki pemberontak terbunuh selepas pihak berkuasa menyerbu masjid Krue Se yang berusia 300 tahun di Pattani berikutan perbalahan selama sembilan jam.

Ketika membacakan keputusan itu di Mahkamah Wilayah Songkhla yang penuh sesak, Hakim Yingyut berkata pegawai keselamatan terpaksa mengambil tindakan pantas untuk memindahkan tahanan dalam keadaan seperti itu ke Pattani atas sebab keselamatan memandangkan lokasi tunjuk perasaan itu tidak jauh dari Thaksin Ratchaniwet Palace dan sempadan Malaysia.

Selanjutnya, beliau berkata ada percubaan untuk menghalang kelancaran laluan bagi mengangkut tahanan ke Pattani dengan pokok ditebang dan paku dibuang ke atas jalan.

Beliau berkata, terdapat rakaman video berhubung insiden itu yang menunjukkan beberapa orang berpakaian seragam sedang mencederakan penunjuk perasaan, tiada sebarang petunjuk yang jelas sama ada ia dilakukan atas arahan pegawai atasan mereka atau individu yang membuat tindakan tanpa persediaan bagi menangani penunjuk perasaan.

Siasatan itu turut mendapati tunjuk perasaan itu tidak dilakukan secara aman, memandangkan terdapat bunyi tembakan daripada sumber yang tidak diketahui sebelum tindakan keras diambil dan penemuan senjata di sungai berhampiran selepas insiden itu.

Para pegawai terbabit turut dibebaskan daripada sebarang salah laku memandangkan mereka bertindak di bawah Perintah Darurat.

Seksyen 17 perintah itu menyatakan para pegawai tidak tertakluk kepada tanggungjawab sivil, jenayah atau disiplin yang berbangkit daripada tindakan mereka ketika menjalankan tugas.

Wakil daripada International Commission of Jurists (ICJ), Cross Cultural Foundation dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang beroperasi di wilayah selatan turut hadir di mahkamah.

Keputusan itu sukar diterima oleh kalangan keluarga mangsa yang melakukan perjalanan beratus-ratus kilometer untuk ke mahkamah.

Zainah Saleme, yang menubuhkan sebuah kumpulan wanita bagi memperjuangkan keadilan untuk mangsa Tak Bai, berkata beliau berasa amat kecewa dengan keputusan itu.

"Tak timbang langsung keadaan mangsa, perasaan keluarga. Mahkamah kata mereka (78) mati bukan kena bedil... tapi mereka diletak bertindihtindih. Langsung tidak fikir nyawa mereka," kata Zainah yang anak lelakinya ditahan dua tahun kerana terlibat dalam demonstrasi itu.

Hamiah Ahmad, 53, berkata beliau amat sedih kerana tidak langsung ada keadilan pada mangsa-mangsa dan keluarga mereka yang terpaksa berulang-alik ke mahkamah sejak kes itu bermula beberapa tahun lepas.

"Anak saya kebetulan berada di situ tetapi terkena tembakan dan mati," kata Hamiah yang mendapat upah membuat tudung untuk dijual di Malaysia dan mendapat pampasan RM2,000 (20,000 baht) daripada kerajaan.

Muhammad Hassan, 50, yang kehilangan satusatunya anak lelaki beliau yang meninggal dunia selepas diletak bertindih-tindih dalam lori, berkata beliau terkejut dengan keputusan itu.

"Anak saya bekerja baiki rumah dan memang selalu keluar kampung... saya langsung tidak tahu dia pergi Tak Bai.

"Apabila dia tidak pulang untuk buka puasa dan melihat di televisyen tentang Tak Bai, kami pergi ke balai polis untuk cari dia," katanya.

Kerajaan Thai sebelum ini yang dipimpin Perdana Menteri yang dilantik oleh tentera, Surayud Chulanont membayar pampasan berjumlah 42 juta baht (RM4.2 juta) kepada anggota keluarga mangsa Tak Bai, menggugurkan pertuduhan terhadap 56 orang yang terbabit dalam tunjuk perasaan itu dan memohon maaf kerana tragedi yang berlaku itu. BERNAMA

Artikel Lain