suria

Pemilihan Presiden: Makin ramai tampil sokong Susilo

JAKARTA: Menjelang pemilihan langsung Presiden dan Naib Presiden Indonesia bagi penggal 2009-2014 oleh 171 juta pengundi 8 Julai ini, semakin banyak kumpulan tampil menyuarakan sokongan untuk Presiden Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) dan calon Naib Presidennya, Boediono.

Malah banyak penyokong Susilo-Boediono berharap pilihan raya presiden itu berlangsung hanya satu putaran, yang bermakna pasangan "SBY-Berbudi" akan mendapat kemenangan yang jelas ke atas lawannya Jusuf Kalla-Wiranto (JKWin) dan Megawati-Prabowo (MegaPro).

Gerakan Pro SBY (GPS) yang baru dilancarkan di Aceh ketika menyatakan harapan pemilihan presiden (Pilpres) 2009 akan berlangsung hanya satu putaran berpendapat ia akan lebih menjimatkan belanja dan wang negara selain hakikat bahawa rakyat Indonesia sudah jenuh dengan proses politik yang memakan masa.

GPS juga sudah wujud di wilayah Sumatra yang lain selain di Jawa, Kalimantan dan kawasan timur Indonesia.

Ketua GPS Aceh Syamsudin berharap keadaan Aceh pada masa depan akan lebih baik dengan kepimpinan SBY untuk sepenggal lagi setelah rakyat Aceh ketika ini bersyukur dengan wujudnya perdamaian di bawah pemerintahan SBY.

Satu lagi badan yang tampil dengan sokongan padu kepada Susilo ialah 'Lumbung Informasi Rakyat' (Lira) yang dipimpin Jusuf Rizal, yang menjelaskan Lira adalah perkembangan Blora Centre untuk mendukung pasangan calon presiden SBY-Berbudi.

Beliau berkata, di setiap daerah, pengurusan Lira juga mendapat sokongan tokoh-tokoh penting yang berpengaruh untuk menjelaskan dasar dan matlamat pemerintahan SBY-Berbudi, yang tidak menganut strategi ekonomi neoliberal seperti yang dituduh banyak pihak, sebaliknya mempunyai misi dan visi ekonomi rakyat.

Beliau memberi contoh pelaksanaan dasar ekonomi yang mengutamakan rakyat itu termasuklah Bantuan Langsung Tunai, Program Nasional Pemberdayaan Masyarakat Mandiri, Kredit Usaha Rakyat dan program insurans kesihatan masyarakat.

Sebuah lagi badan yang mulai giat menggerakkan sokongan untuk SBY-Berbudi ialah Gerakan Aman dan Sejahtera untuk Indonesia (Garansi), yang mendakwa mempunyai 600,000 penyokong di seluruh Indonesia.

Ketuanya Radityo Gambiro dipetik agensi berita Antara di Bekasi, Jawa Barat sebagai berkata bahawa Garansi, meraih sokongan masyarakat melalui pengurus kegiatan mencergaskan ekonomi rakyat, kegiatan sosial dan pendidikan politik, tanpa mengharapkan biaya daripada pemerintah, sebaliknya sumbangan setiap anggotanya.

Seorang pemerhati politik, Salleh Dani memberitahu Bernama Sabtu bahawa tumbuhnya puluhan badan dan persatuan yang melaungkan sokongan kepada Susilo mahupun caloncalon lain merupakan satu kelaziman yang memeriahkan proses demokrasi di Indonesia.

"Kumpulan yang sering tampil di media massa itu boleh jadi mempunyai kepentingan tertentu daripada calon yang mereka sokong setelah menang dan boleh jadi juga ikhlas menyokong," katanya.

Beliau berkata, mereka bekerja keras menggembleng sokongan rakyat kepada calon dukungan mereka, hanya kerana yakin calon itu lebih menjamin masa depan bangsa dan negara, berpijak di bumi nyata dan tidak menjanjikan halhal yang mustahil dicapai terutama dalam keadaan krisis ekonomi dunia sekarang.

"Dalam hal ini, mereka melihat SBY dengan calon Naib Presidennya Boediono, yang merupakan pakar ekonomi yang pernah menjadi menteri dan gabenor Bank Negara Indonesia mungkin lebih berpengalaman dan mampu membangunkan Indonesia dengan lebih rancak," katanya.

Beberapa orang rakyat Indonesia yang ditemui pula berkata sokongan mereka untuk Susilo kerana beliau dilihat ikhlas menumpukan masa, khidmat dan usaha bagi membangunkan ekonomi Indonesia tanpa mempunyai sebarang kepentingan perniagaan sendiri atau keluarga.

"Saya dan keluarga pasti mengundi Pak SBY kerana kami sudah menikmati sendiri hasil dasar pemerintahan beliau seperti Bantuan Langsung Tunai, insurans kesihatan keluarga miskin dan pendidikan gratis (percuma)," kata Sumantha, seorang pemandu sebuah syarikat. BERNAMA

Artikel Lain