suria

Doktor Australia selamatkan nyawa kanak-kanak guna penggerudi

MELBOURNE: Seorang doktor di sebuah pekan kecil disanjung sebagai penyelamat nyawa selepas menggunakan penggerudi elektrik untuk menggerudi ke dalam tengkorak kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun.

Menurut ABC News, Nicholas Rossi mengalami pendarahan hingga ke otak dan berkeadaan antara sedar dan tidak, selepas terjatuh dari basikal berhampiran rumah rakannya di Maryborough, kira-kira 90km dari sini.

Setelah menyedari hospital setempat tidak mempunyai peralatan pembedahan yang diperlukan, Dr Rob Carson menggunakan penggerudi yang diambil dari bilik penyelenggaraan untuk menggerudi ke dalam tengkorak kanak-kanak itu dan melegakan tekanan ke atas otaknya.

Beliau diberi nasihat menerusi telefon oleh pakar bedah otak terkemuka Melbourne, David Wallace.

Michael Rossi berkata anaknya mungkin mati jika Dr Carson tidak bertindak pantas.

"Beliau keluar dan ternampak kami dan memberitahu beliau hanya ada satu peluang saja, dan ia memanglah satu-satunya peluang. Katanya lagi saya akan gerudi kepala Nick dan cuba melegakan tekanan.

"Kata beliau jika kita dapat melegakan tekanan, dia (Nicholas) akan dibawa ke Melbourne dengan ambulans udara dalam keadaan yang lebih baik berbanding jika kita tidak mencuba sesuatu," kata Rossi.

Dr Carson memberitahu Rossi supaya mengambil penggerudi Black and Decker dari bangsalnya.

Pakar bius David Tynan yang membantu prosedur itu berkata Dr Carson berjaya menyelamatkan nyawa kanak-kanak itu.

"Dia nampaknya menunjukkan pemulihan yang mengagumkan," kata Dr Carson. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain