suria

Abhisit lawat Malaysia 8 Jun

BANGKOK: Perdana Menteri Thai, Abhisit Vejjajiva akan melawat Malaysia pada 8 Jun dan Kemboja dua hari selepas itu bagi meningkatkan hubungan dengan dua negara jiran itu.

Abhisit, yang memegang jawatan pada Disember, 2008 selepas pergolakan politik yang berbulan lamanya, dijangka mengadakan perbincangan dua hala dengan rakan sejawatannya di Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan pelbagai isu, terutama yang berkaitan dengan perdagangan, pelaburan dan konflik di selatan," kata jurucakap kerajaan Panitan Wattanayagorn di sini Selasa.

Kedua-dua pemimpin itu telah bertemu bulan lepas ketika Sidang Kemuncak Asean + 6 yang dibatalkan, di Pattaya.

Panitan berkata lawatan ke Kemboja dan perjumpaan dengan perdana menteri negara itu Hun Sen akan menyentuh mengenai isu sempadan.

Walaupun telah enam bulan memimpin negara, Abhisit sehingga kini hanya melawat Laos berikutan krisis politik dalam negara yang menyaksikan demonstrasi jalanan secara besarbesaran sejak beberapa bulan lepas termasuk rusuhan pada 13 April oleh penunjuk perasaan anti kerajaan di ibu negara ini.

Di Malaysia, Abhisit dijangka meminta Malaysia memperluaskan program pembangunan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk menamatkan konflik senjata dan mewujudkan keamanan di wilayah yang mempunyai majoriti penduduk Islam yang bersempadan dengan Malaysia itu.

Lebih 3,500 orang terbunuh sejak pemberontak memulakan semula gerakan bersenjata pada Januari 2004 bagi menuntut kemerdekaan untuk Pattani, Yala dan Narathiwat.

Pada Jun 2007, Thailand dan Malaysia menandatangani perjanjian berhubung kerjasama dalam program 3E pelajaran, guna tenaga dan keusahawanan yang antara lain akan melatih kira-kira 4,000 rakyat Thai beragama Islam dalam program teknikal dan menawarkan biasiswa kepada pelajar di selatan.

Menurut para pegawai, Abhisit dijangka menerangkan kepada Najib mengenai keputusan Thailand membatalkan rancangan untuk mengadakan Sidang Kemuncak Asean + 6 yang dibatalkan itu di Phuket pada 13 dan 14 Jun.

Sidang kemuncak itu dibatalkan berikutan beberapa negara peserta mempunyai komitmen lain. Sidang Kemuncak Pattaya dibatalkan apabila penunjuk perasaan anti kerajaan menyerbu venue mesyuarat, memaksa pihak berkuasa membawa keluar beberapa pemimpin dengan helikopter. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain