suria

Demonstrasi di hadapan Parlimen Thailand

BANGKOK: Penunjuk perasaan anti-kerajaan yang terdiri daripada kalangan penyokong Thaksin Shinawatra, Perdana Menteri Thailand yang ditumbangkan, terus mengenakan tekanan terhadap kerajaan Thailand dengan mengadakan demonstrasi di hadapan Parlimen hari ini.

Beratus-ratus anggota Barisan Bersatu Untuk Demokrasi Menentang Diktator (UDD) mengenakan pakaian berwarna merah dan berhimpun di Parlimen bagi menggesa penggubal undang-undang untuk turut memasukkan draf yang dihasilkan mereka, ke dalam pindaan perlembagaan yang dicadangkan.

Insiden itu tidak mencetuskan sebarang keganasan, dan polis anti rusuhan sentiasa berkawal bagi mengawasi keadaan.

Perhimpunan itu diadakan pada hari Perdana Menteri Abhisit Vejajjiva tampil untuk memberi keterangan kepada satu panel yang menyiasat kejadian rusuhan di ibukota pada 13 April lepas, yang menyaksikan dua peniaga terbunuh dan ratusan penunjuk perasaan cedera dalam pertempuran antara tentera dengan penyokong berbaju merah.

Bangkok aman sejak beberapa minggu lepas, namun beberapa demonstrasi secara aman dijangka akan diadakan pada mingu-minggu akan datang, termasuk perhimpunan dua hari oleh penyokong berbaju kuning pro kerajaan Perikatan Rakyat untuk Demokrasi (PAD) hujung minggu ini.

PAD yang sebelum ini menumbangkan tiga Perdana Menteri termasuk Thaksin dalam tempoh dua tahun menerusi demonstrasi jalanan, merancang untuk melancarkan parti politik sendiri.

UDD pula melancarkan saluran televisyen satelit sendiri, Stesen D, manakala akhbar tabloid Red News akan memulakan edarannya pada hari Jumaat ini semasa penyokong Thaksin mengenakan tekanan lebih hebat untuk menumbangkan kepimpinan kerajaan semasa.

Pemimpin UDD, Jaran Ditapichai memberitahu media Nation bahawa mereka akan mematuhi prinsip tiada-keganasan, namun keganasan akan tetap digunakan dalam kes-kes bagi tujuan mempertahankan diri.

Ahad lepas kira-kira 20,000 penyokong berbaju merah berhimpun di sebuah kuil di luar Bangkok bagi meneruskan momentum dan tekanan mereka terhadap Abhisit, supaya membubarkan parlimen dan mengadakan pilihan raya baru. BERNAMA

Artikel Lain