suria

Perjuangan LTTE hanya bawa kemusnahan

VAVUNIYA (Sri Lanka): Setelah melancarkan perjuangan yang penuh dengan keganasan bagi membela hak penduduk minoriti Tamil di utara Sri Lanka selama 26 tahun, kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) akhirnya terpaksa menerima hakikat bahawa tindakan mereka itu hanya membawa malapetaka semata-mata.

Ini kerana impian LTTE untuk menubuhkan sebuah negara berasingan di utara Sri Lanka bukan saja tidak kesampaian, malah hanya berisi satu peperangan siasia yang meragut lebih 80,00 nyawa dan membawa kemusnahan di wilayah berkenaan.

Akibat tindakan mereka, wilayah utara negeri berkenaan bertukar menjadi medan keganasan dan menyebabkan berpuluh ribu pelarian perang kaum Tamil hidup dalam penuh kesengsaraan dan terperangkap di kem pelarian, manakala nasib pemimpin tertinggi LTTE Velupillai Prabahkaran dan orang kanannya pula kini tidak diketahui kesudahannya ketika perjuangan mereka menuju ke penghujung.

Seluruh dunia, terutama beberapa negara Barat yang mempunyai agenda politik tersendiri, ketika sibuk membahasakan kedudukan perang yang berlaku itu, tidak langsung mempedulikan nasib penghuni kem pelarian, yang bakal mencetuskan krisis kemanusiaan paling buruk dalam sejarah moden di wilayah berkenaan.

Hampir 190,000 orang awam berbangsa Tamil yang berjaya melarikan diri daripada kancah peperangan dan tiba di kem yang dibuka oleh kerajaan Sri Lanka di Vavuniya di utara negeri ini, berharap peperangan itu akan segera berakhir agar mereka dapat kembali hidup dengan selamat seperti sebelumnya.

"Mereka (LTTE) mahu membahagikan negara ini kepada dua bahagian agar kami (kaum Tamil) dapat menikmati kehidupan lebih selesa, tapi selama lebih 20 tahun, apa yang kami rasai adalah kesengsaraan yang amat dahsyat akibat peperangan dan tersingkir dari kampung halaman kami.

"Malah, kini kami juga tidak selamat daripada angkara LTTE, kebanyakan bekalan makanan yang dihantar kepada kami oleh penderma, diambil oleh LTTE. Manusia rebah dan meninggal dunia di jalanan di Mullaithivu kerana kebuluran, keadaannya sungguh dahsyat," kata Selvanayagan, 56, yang mendapat perlindungan bersama keluarganya di Menik Farm di Vavuniya, kepada Bernama.

Kerajaan serta agensi bantuan antarabangsa, termasuk Mercy Malaysia, mengadakan program kemanusiaan bagi membantu orang pelarian yang keadaan kebanyakan mereka lebih teruk daripada penduduk negara Afrika yang dilanda bencana kemarau.

Beribu-ribu manusia yang kekurangan zat makanan dan hidup dalam ketakutan, termasuk wanita hamil, merengkok di khemah ini dalam keadaan cuaca yang panas membahang. Ada antara mereka mengalami kecederaan akibat perang.

Mangsa perang ini membawa bersama mereka pelbagai cerita pilu tentang peperangan. Ketakutan, kekurangan bekalan ubat dan makanan serta tindakan LTTE memaksa kanakkanak bawah umur menyertai mereka untuk berperang, adalah antara kisah yang tidak dapat mereka lupakan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain